Usahawan kosmetik, Datuk Seri Aliff Syukri melahirkan rasa terkejutnya selepas mendapati permohonan Bantuan Prihatin Nasional (BPN) beliau tidak diluluskan oleh kerajaan.

Menurut beliau:

“Hari ini saya amat terkejut kerana permohonan saya tidak diluluskan. Saja nak semak. Saya faham dalam keadaan yang begitu getir ini, bukan sahaja orang-orang biasa yang tertekan.

“Saya sebagai usahawan industri IKS juga turut merasai [tekanan]. Rasanya kalah zaman kegawatan ekonomi 1997.”

Pengasas jenama produk kosmetik dan kesihatan D’Herbs ini turut berkata wabak COVID-19 menyebabkan jualan produknya jatuh 90%.

“Hampir semua bisnes tutup. Saya amat sedih dalam keadaan ini dan berharap rakyat malaysia dapat membantu kerajaan untuk mempercepatkan proses [pembendungan] penyakit [coronavirus] ini.

Beliau turut melahirkan rasa syukur kerana masih ada penyokong-penyokong beliau yang masih membeli produk D’Herbs ketika Perintah Kawalan Pergerakan berkuatkuasa sejak 18 Mac lepas.

“Apa pun saya berterima kasih kepada penyokong-penyokong saya yang membeli produk saya walaupun tak banyak.”

Beliau mengharapkan kerajaan dapat membantu IKS sepertinya dalam bentuk pemotongan cukai.

“Saya berharap kerajaan boleh mengurangkan cukai untuk orang IKS macam saya untuk meringankan beban kami.”

https://www.instagram.com/p/B-rVUMhJWAH/

Sebelum ini golongan T20 seperti Aliff Syukri sudah menerima kecaman hebat daripada netizen berhubung komen mengenai BPN.

Pengasas FashionValet, Vivy Yusof ditempelak atas komen beliau yang bersetuju dengan kenyataan rakannya bahawa ‘golongan B40 akan bertambah kaya selepas PKP berakhir’.

Vivy menjelaskan kenyataan beliau diambil di luar konteks sebenar yang mahu disampaikannya – iaitu kerajaan perlu memberi lebih perhatian kepada IKS.

Sebelum itu Tomok dan beberapa rakan artis lain juga dikecam kerana membuat kenyataan bahawa kerajaan juga perlu membantu golongan artis. Tomok bagaimanapun sudah meminta maaf.

Pada 6 April lepas, Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin telah mengumumkan peruntukan pakej perihatin tambahan sebanyak RM10 bilion bagi IKS.

Pertama, peruntukan bagi program subsidi upah yang diumumkan pada 27 Mac yang lalu akan dinaikkan daripada RM5.9 bilion kepada RM13.8 bilion, iaitu tambahan sebanyak RM7.9 bilion.

Di bawah inisiatif tambahan ini, semua syarikat dengan pekerja tempatan yang bergaji RM4,000 dan ke bawah akan menerima bantuan subsidi upah.

Antaranya seperti berikut:

  • Bagi syarikat yang mempunyai pekerja lebih daripada 200 orang, subsidi upah sebanyak RM600 bagi setiap pekerja dikekalkan.
  • Namun, bilangan maksimum pekerja yang layak untuk menerima subsidi akan ditingkatkan daripada 100 orang kepada 200 orang pekerja.
  • Syarikat yang mempunyai bilangan pekerja 76 hingga hingga 200 orang akan menerima subsidi upah sebanyak RM800 bagi setiap pekerja.
  • Syarikat yang mempunyai bilangan pekerja sehingga 75 orang akan menerima subsidi upah sebanyak RM1,200 bagi setiap pekerja. Melalui penambahbaikan ini, syarikat juga akan menerima lebih banyak manfaat dan bantuan, iaitu:
  • Bantuan 3 bulan dan dikhususkan kepada majikan yang berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) atau pihak berkuasa tempatan sebelum 1 Januari 2020 dan mendaftar dengan Perkeso.
  • Kira-kira 4.8 juta pekerja dijangka akan mendapat manfaat daripada inisiatif ini.
  • Majikan yang memilih untuk menerima bantuan disyaratkan mengekalkan pekerja sekurang-kurangnya untuk tempoh 6 bulan, iaitu tempoh 3 bulan semasa menerima subsidi upah dan 3 bulan selepas itu.

Muhyiddin turut mengumumkan geran khas prihatin berjumlah RM2.1 bilion untuk semua syarikat PKS mikro yang berkelayakan.

Katanya, kerajaan akan menyediakan geran khas sebanyak RM3,000 untuk setiap syarikat mikro dan akan memanfaatkan hampir 700,000 PKS mikro di seluruh negara.

Kadar faedah Skim Kredit Mikro berjumlah RM500 juta di bawah Bank Simpanan Nasional juga diturun kan dari 2% kepada 0%.

Pemilik bangunan yang memberikan pengurangan atau pelepasan sewa kepada penyewa IKS pula akan diberi potongan cukai tambahan bersamaan dengan amaun pengurangan sewa tersebut bagi bulan April 2020 hingga Jun 2020 dan tertakluk kepada syarat pengurangan sekurang-kurangnya 30%.

Baca juga artikel kami yang lain mengenai ragam selebriti Malaysia ketika wabak COVID-19: