Seperti pelajar universiti lain di Malaysia, Veveonah Mosibin perlu beradaptasi dengan norma baharu pembelajaran dalam talian (online learning) susulan penutupan semua institusi pengajian tinggi akibat wabak COVID-19. Ini termasuklah mengambil peperiksaan secara dalam talian.

Tetapi berbeza dengan pelajar lain terutamanya di Semenanjung, Veveonah perlu mendaki sebuah bukit untuk mengambil peperiksaan di atas pokok. Semuanya untuk mendapatkan capaian Internet yang stabil melalui telefon pintarnya.

Pelajar Universiti Malaysia Sabah (UMS) itu menerbitkan beberapa video di saluran YouTube miliknya untuk menunjukkan rintangan untuk mengambil peperiksaan dalam talian.

Dalam videonya, pelajar berusia 18 tahun itu turut menunjukkan betapa hampirnya beliau digigit oleh tebuan ketika mengambil dua peperiksaan dalam talian di atas pokok.

Menurut Veveonah, capaian Internet di kampungnya, Kampung Sabanalang Pitas tidak cukup kuat untuk memastikan sambungan Internet yang tidak putus-putus semasa mengambil peperiksaan dalam talian.

Sebagai rekod, Kampung Sabanalang Pitas terletak di Kota Marudu, Sabah. Jaraknya dari Kota Kinabalu adalah kira-kira 200km atau tiga jam perjalanan menaiki kereta.

“Kalau setakat nak masuk kelas dalam talian atau melayari Internet, tak ada masalah. Tapi untuk mengambil peperiksaan dalam talian, saya perlukan sambungan yang kuat dan tidak putus-putus,” kata Veveonah.

Dalam salah satu videonya, Veveonah mendaki sebuah bukit sebelum memanjat sebatang pokok untuk mendapat sambungan Internet kuat. Untuk menjadikan kandungan videonya lebih menarik, beliau juga mencabar dirinya untuk tidur semalaman di atas pokok selepas selesai menduduki dua kertas peperiksaan dalam talian.

Berbekalkan hanya tiga bungkus linopod (nasi kosong bungkus), sebotol air kosong, sehelai jaring nyamuk, powerbank, kamera dan telefon pintarnya, Veveonah bermula dengan menduduki peperiksaan kertas Kimia pada waktu pagi.

Selepas selesai, beliau makan tengah hari dengan sebungkus linopod sebelum menduduki peperiksaan Pengajian Malaysia pula pada waktu petang.

Bagaimanapun ketika rehat makan tengah hari, seekor tebuan masuk ke dalam khemah jaring nyamuknya. Beliau berjaya mengeluarkan tebuan tersebut dengan berhati-hati.

Selesai peperiksaan Pengajian Malaysia, Veveonah makan malam pula berbekalkan satu lagi linopod dan air kosong yang dibawanya.

“Kalau musim buah, saya boleh petik saja buah untuk makan,” katanya.

Veveonah juga bercerita disebabkan kampungnya masih tiada bekalan elektrik, aktiviti malam di kampungnya berakhir seawal jam 7 malam.

“Di kampung kami, kami biasanya tidur malam jam 7 malam untuk menjimatkan lilin.”

Selepas semalaman tidur di atas pokok, keesokan paginya Veveonah balik ke rumah dan mendapati ibunya merajuk kerana tak balik rumah.

“Tapi saya dah beritahu dia yang saya akan bermalam di atas pokok. Sekarang dia dah tak merajuk lagi selepas tahu saya boleh jaga diri sendiri,” katanya kepada The Star.

“Walaupun kampung kami tak ada bekalan elektrik, kami ada kemudahan asas elektrik dari set penjana kuasa. Pada waktu malam, kami pasang lilin.

“Bekalan air pula kami boleh dapat dari sungai.”

Tonton video Veveonah Mosibin ambil peperiksaan online atas pokok:

https://youtu.be/-qxTyBWVLIU

Reaksi netizen terhadap video Veveonah ternyata sangat positif. Ramai yang memuji semangat kentalnya untuk belajar walaupun menghadapi pelbagai rintangan dari segi kemudahan asas.

Ada juga yang melihat video Veveonah sebagai tamparan realiti kepada kegagalan kita untuk menyediakan kemudahan asas seperti air, elektrik dan Internet di kawasan terpencil.

Baca juga artikel lain yang berkaitan:

Sumber: