Syarat masuk yang ketat adalah salah satu sebab mengapa Harvard University dianggap salah sebuah universiti terbaik di dunia. Harvard University bukan sahaja mengambil pelajar di Amerika Syarikat, malah turut mengambil pelajar-pelajar dari seluruh dunia – termasuk Malaysia!

Pada 20 Mei 2020, dua pelajar muda Malaysia, Mohamed Aqil Azmi dan Zad Chin Qi Qi telah diterima masuk ke Harvard University. Kedua-dua pelajar itu akan menjadi sebahagian daripada kelas sarjana muda bagi tahun 2024.

Mohamed Aqil, 20, anak kelahiran Shah Alam, Selangor, bakal mengambil jurusan Matematik dan Falsafah. Manakala Zad Chin, 20, pelajar perempuan dari Ipoh, Perak, merancang mengambil jurusan Sains Komputer dan Pengajian Sosial.

Ketika artikel ini ditulis, kedua-dua pelajar ini sedang mengikuti pengajian A-Level di Kolej Yayasan UEM di Lembah Beringin, Selangor.

Mohamed Aqil dan Zad Chin akan memulakan pengajian peringkat sarjana mereka apabila Kolej Harvard dibuka semula bagi tahun akademik yang baharu.

Menurut Kelab Harvard Malaysia, Harvard University menerima sejumlah 40,248 permohonan masuk dari seluruh dunia bagi tahun pengajian 2024.

Namun hanya 1,980 pelajar akan diterima masuk, dengan hanya 10.8% (kira-kira 214 orang) daripadanya merupakan pelajar antarabangsa termasuk Malaysia.

Kali terakhir pelajar Malaysia diterima masuk ke Harvard adalah pada tahun 2017.

Apa itu Harvard University?

Embed from Getty Images

Harvard University merupakan sebuah universiti elit yang terletak di Massachusetts, Amerika Syarikat. Harvard dianggap salah sebuah universiti terbaik di dunia kerana statusnya dalam Ivy League.

Jika anda beritahu bakal majikan yang anda merupakan graduan universiti Ivy League, serta-merta anda akan mendapat kelebihan.

Mengapa? Kerana Ivy League hanya dianggotai oleh lapan universiti di Amerika Syarikat yang mengutamakan tiga aspek berikut: kecemerlangan akademik, syarat masuk yang ketat dan status elit pemohon.

Disebabkan tiga aspek ini, bukan calang-calang orang boleh masuk universiti Ivy League seperti Harvard.

Harvard diasaskan sejak tahun 1636 lagi. Ini menjadikannya institusi pendidikan tinggi paling tua di Amerika Syarikat.

Disebabkan prestijnya yang sudah berakar sejak abad ke-16, Harvard telah melahirkan banyak presiden Amerika Syarikat, pemimpin, jutawan, usahawan dan pakar akademik di seluruh dunia.

Embed from Getty Images

Di Malaysia ketika ini, terdapat kurang 10 graduan Harvard. Jadi anda boleh bayangkan betapa eksklusifnya bila anda bergelar sebagai bekas graduan Harvard di Malaysia.

Kelebihan Harvard University

1. Prestij yang sudah berakar sejak abad ke-16.

Ditubuhkan pada mulanya untuk mendidik bakal-bakal paderi, Harvard kemudiannya berubah menjadi insititusi pendidikan tinggi yang sekular dan moden pada abad ke-18.

2. Mempunyai dana pendidikan terbesar di dunia

Pada tahun 2018, Harvard menerima dana pendidikan terbesar di dunia iaitu berjumlah USD38.3 bilion (RM167 bilion). Ia disumbangkan oleh kerajaan dan syarikat swasta. Dana ini digunakan untuk membiayai semua aktiviti akademik, kajian dan bantuan kewangan kepada pelajarnya.

3. Ahli akademik terbaik di dunia

Selain menarik pelajar-pelajar terbaik dari seluruh dunia, Harvard juga menarik ahli-ahli akademik terbaik dari seluruh dunia. Pensyarah mana yang tak nak mengajar di Harvard yang mempunyai dana besar untuk kajian, pelajar bijak untuk dididik dan kemudahan terbaik untuk bekerja?

4. Bebas untuk belajar apa sahaja

Berbeza dengan universiti lain, Harvard memberi kebebasan kepada pelajar-pelajarnya untuk ‘mereka bentuk ijazah mereka sendiri’.

Pelajar Harvard boleh memilih mana-mana kelas daripada lebih 3,700 kursus. Setiap pelajar diberikan masa 1 minggu untuk ‘shopping’ kelas mana yang mereka minat sebelum mendaftar kelas yang mereka nak belajar.

5. Pilihan aktiviti ko-kurikulum yang luas

Pelajar Harvard juga mempunyai banyak pilihan aktiviti ko-kurikulum. Contohnya mereka boleh masuk Crimson jika berminat dengan dunia kewartawanan, Institute of Politics jika berminat dengan dunia politik atau Lampoon jika minat dengan dunia komedi.

Malah anda juga boleh buat kelab ko-kurikulum anda sendiri seperti Kelab Peminat Arnold Schwrzenegger. Jika kelab anda mempunyai ahli yang cukup, Harvard akan memberikan anda duit untuk aktiviti kelab!

6. Bantuan kewangan yang banyak

Disebabkan Harvard mempunyai dana pendidikan yang besar, mereka boleh memberi bantuan kewangan kepada pelajar yang memerlukan. Pada tahun akademik 2019/2020, kos yuran pengajian Harvard adalah sebanyak USD12,000 (RM52,300) setahun.

Tetapi pelajar yang keluarganya berpendapatan bawah USD65,000 (RM279,000) setahun TIDAK PERLU membayar apa-apa. Ini bermakna dalam kes Aqil dan Zad, mereka tak perlu risau tentang yuran. Dan apabila habis belajar nanti, mereka tiada hutang!

Tentang kos sara hidup mereka berdua di Harvard pula, Aqil dan Zad tak perlu pening kepala kerana mereka merupakan penerima biasiswa Permodalan Nasional Berhad (PNB) dan Yayasan Khazanah.

7. Perpustakaan yang besar

Sistem perpustakaan Harvard mempunyai 17 juta buku dan rak buku sejauh 55 batu.

8. Kampus yang besar

Berbeza dengan universiti lain, 98% pelajar Harvard duduk dalam kampus sepanjang empat tahun belajar di sana. Jika anda adalah pelajar tahun pertama, anda akan ditempatkan di Harvard Yard.

Kemudian anda akan dipindahkan ke salah satu daripada 12 rumah sekitar kampus. Setiap rumah mempunyai dewan makan, gimnasium, perpustakaan, bilik hiburan dan banyak lagi.

Apa syarat masuk Harvard University bagi pelajar Malaysia?

Untuk bergelar pelajar Harvard University, anda perlu melalui sesi temuramah dengan alumni Harvard di Malaysia (dari Kelab Harvard Malaysia).

Dalam kes Aqil dan Zad, kedua-dua mereka ditemuramah oleh Wan Nadiah Wan Mohammad (Ketua Pegawai Eksekutif Thomson Hospital Kota Damansara) dan Nick Khaw (Pengarah Kajian Khazanah Nasional Berhad).

Secara asasnya, untuk layak memohon belajar di Harvard, anda perlu melepasi dua syarat masuk yang asas seperti berikut:

1. Mempunyai skil kepimpinan yang kuat dan aktif dalam aktiviti ko-kurikulum, sosial atau kesukarelawanan.

2. Tidak melebihi umur 18 tahun pada tarikh kemasukan program asasi.

3. Mempunyai pencapaian akademik yang cemerlang seperti berikut:

  • Memperolehi minimum 8A (kombinasi A dan A+) dalam peperiksaan SPM terkini atau sekurang-kurangnya 8A dalam IGCSE terkini.
  • Memperolehi A atau A+ dalam subjek teras berikut: Bahasa Melayu, English, Sejarah dan Matematik.

Selepas melepasi syarat masuk asas di atas, barulah anda layak menghadiri sesi temuramah kemasukan Harvard dengan alumni Harvard sendiri. Untuk mendapatkan maklumat mengenai temuramah ini, anda perlu menghubungi Kelab Harvard Malaysia.

Hanya jika selepas anda berjaya menawan hati alumni Harvard Malaysia, barulah anda akan dapat masuk ke Harvard.

Baca juga artikel kami lain yang berkaitan: