“Menangis dari tadi. Cuma nak menangis pada Allah. Entahlah. Tersandar rasa. Rasa penat sangat.”

Itulah status facebook yang ditulis oleh pendakwah terkenal, Ustaz Ebit Lew apabila menceritakan pengalamannya dipanggil polis di Bukit Aman hari ini.

Ustaz Ebit Lew menerusi status yang sama mengesahkan beliau tidak akan meneruskan khidmatnya dalam memberi bantuan kepada orang yang tidak berkemampuan secara langsung selepas ini.

Keputusan itu dibuat selepas niatnya membantu orang disalah erti oleh sesetengah pihak yang mempertikai dengan membuat beberapa laporan polis terhadapnya.

“Atas nasihat, setakat ini sahaja saya berkhidmat pada semua secara langsung.

“Saya cuma akan memindahkan wang pada orang susah. Saya teruskan dari rumah sahaja.

Ustaz Ebit Lew sering berkongsi khidmatnya beri bantuan kepada golongan susah secara langsung di media sosial.

“Jangan ‘tag’ saya lagi (di Facebook) kes orang susah. Nanti habis PKP (Perintah Kawalan Pergerakan) baru saya cuba bantu,” katanya menerusi Facebook, hari ini.

Mengulas mengenai kehadirannya ke Bukit Aman, Ebit Lew berkata, beliau dihubungi polis untuk berbuat demikian pada tengah malam tadi.

“Saya terus ke sana hari ini untuk mendapatkan dan memberi penjelasan terutama kes tular beberapa hari lalu kerana ada aduan.

“Mereka (pegawai rakam keterangan) semua baik dan melayan saya dengan sangat baik. Terima kasih sangat.

“Tadi saya menangis ketika beri keterangan pada beberapa pegawai mungkin sebab penat. Serius penat sangat. Saya tak salahkan sesiapa. Saya bukan ahli politik. Saya bukan sesiapa. Cuma Cina Islam yang sayangkan Islam dan Malaysia,” katanya.

Mengulas lanjut, Ebit Lew memohon maaf sekiranya apa dilakukannya mengguris hati orang ramai kerana niatnya hanya ingin membantu.

Pendakwah itu berkata, beliau sememangnya tidak boleh melihat orang tidur di kawasan kotor dan tepi jalan.

“Lebih seratus orang sudah saya bayar penginapan dan tempat tinggal. Cuma beberapa kes tu saya kongsikan dengan kawan di Facebook.”

“Saya tiada niat nak tular perkara ini. Ramai anak-anak susah dan terbiar, pelajar tahfiz saya bayarkan yuran mereka. Perniagaan saya sebenarnya sangat baik. Syukur pada Allah.

“Rezeki melimpah ruah. Saya belanja duit saya sendiri dari dulu lagi untuk bantu orang dimana-mana,” katanya.

Nama Ustaz Ebit Lew menjadi tular baru-baru ini selepas seorang pegawai Menteri Besar Kedah menyelar tindakan pendakwah itu yang memberi sumbangan kepada orang yang tidak berkemampuan di negeri tersebut tanpa meminta izin mereka terlebih dahulu.

Baca juga artikel lain yang mungkin menarik bagi anda: