Ramai orang dok mengadu dengan perangai orang Melaka yang dikatakan suka cakap kasar. Lagi-lagi orang yang ‘tak masak lagi’ dengan bahasa percakapan orang Melaka.

Salah satu contohnya boleh dilihat dalam video Tik Tok di bawah:

Sebenarnya beginilah. Memang cara orang Melaka jenis cakap lepas. Laser dan suka berterus terang. Tak cukup dengan itu, kalau cakap sesama sendiri boleh bikin riuh satu kampung.

Tapi itulah, tak semua orang Melaka jenis macam itu. Tetapi hakikatnya sebahagian besarnya begitulah. Cakap pun main lepas sahaja. Walau bagaimanapun tak ada pun yang simpan dalam hati. Habis kat situ juga. Orang Melaka ini diakui jenis yang cepat mesra.

Macam yang dikatakan tadi, tak semua orang Melaka jenis yang cakap kasar.

Ada juga ‘orang Melaka celup’ yang tak terpengaruh pun untuk kahau bila bercakap. Ada juga sesetengah kawasan di Melaka agak slow down sikit .

Tetapi berhati-hati kalau orang Melaka terutamanya melibatkan orang Bachang jumpa dengan orang Melaka yang tinggal di Pokok Mangga (sebagai salah satu contoh). Boleh bergaduh dan riuh sekampung dibuatnya. Orang tua-tua ada berkata:

“Masuk kandang kambing mengembek, masuk kandang harimau kenalah mengaum”

Setiap negeri ada keunikan tersendiri baik daripada segi budaya mahupun bahasanya. Loghat Melaka juga jujur, berterus terang serta paling sempoi. Tetapi tajam sehinggakan kalau ada yang tak biasa atau tak tahan mendengarnya, boleh makan hati dibuatnya.

Bagi kami bahasa orang Melaka tak kasar. Tetapi mungkin juga cara penyampaiannya dilihat agak kasar.

Ia sebenarnya bukanlah berniat untuk menyindir atau bertujuan menyakitkan hati rakan mereka (dalam bentuk yang mesra bagi mereka).

Cuma apabila mereka memberikan pendapat, mereka-mereka ini akan menyuarakan tanpa was-was. Dan disebabkan kelantangan seperti inilah orang Melaka dilihat kasar, laser – lagi apa lagi?

Walau apapun, sekasar-kasar orang Melaka pun, hati mereka tetap baik, mudah mesra dan jenis yang tak cakap belakang. Setuju tak?

Kadang-kadang kita biasa dengar ayat, “kalau tak kenal maka tak cinta”. Inilah dia.

Jika kita ingin mengenal dan mengetahui rentak bagi satu-satu masyarakat, kita kena kenal budayanya, bahasanya dan istilah yang digunakan.

Contohnya, yang sekarang saya nak cakap berkenaan Istilah & bahasa orang Melaka yang selalu mereka gunakan, lebih-lebih lagi kalau dah jumpa sama-sama kroni orang Melaka jugak. Memang alamat riuhlah.

Kenapa orang Melaka cakap kasar?

Fenomena orang Melaka cakap kasar ini sebenarnya hampir sama dengan fenomena orang British atau Australia (yang nenek moyang mereka berasal dari Britain) yang kedengaran kedengaran kasar di telinga orang Amerika Syarikat.

Di England atau Australia contohnya, perkataan c**t atau t**t merupakan perkataan yang normal – yang biasanya dituturkan antara kawan dan saudara rapat. Tetapi di telinga orang Amerika Syarikat, perkataan tersebut dianggap sangat kurang sopan.

Menurut Emma Byrne dalam bukunya yang bertajuk Swearing Is Good for You: The Amazing Science of Bad Language, bahasa kasar menandakan tahap kepercayaan seseorang terhadap seseorang.

Ia bermakna jika orang Melaka bercakap kasar kepada anda, bermakna dia sangat-sangat percayakan anda. Jika orang Melaka bercakap sopan kepada anda, bermakna dia belum 100% percayakan anda.

Selain itu kajian yang dibuat oleh Dr. Richard Stephens dari Keele University, UK juga menunjukkan orang yang berbahasa kasar cenderung untuk tahan sakit lebih lama daripada orang biasa.

Contoh bahasa & istilah orang Melaka :

1. Kensal: Tuala

2. Hawau: Lebih kurang macam perkataan “tak guna betul kau ni”

3. Kahau: Cakap kasar

4. Godak: Kacau (contohnya: tolong godakkan air teh dalam jug tu)

5. Lahanat, lahabau & sial: Lahanat dan lahabau berasal dari percampuran budaya Arab di Melaka sejak zaman Kesultanan Melayu Melaka). Contohnya, lakh khabar dan akhirnya menjadi lakhabau. Maknanya tidak dengar khabar. Ayat mudahnya, “Usin lahabau kau, ingat dah mati” (Maksudnya : Usin lama tak dengar khabar atau berita, ingat dah mati).

6. Berboko, barah, cekik: Makan

7. Orang Melaka kalau sebut perkataan yang hujungnya berakhir dengan huruf A mesti akan ditukar kepada huruf E. Kemudian meleret pulak tu. Contohnya: “Ko nak pergi mane? Yele… Ikut suka hati ko le…”

8. Satu lagi jikalau sesuatu perkataan itu berakhir dengan huruf R, maka akan ditukarkan kepada huruf U. (contohnya: ular jadi ulau, keluar jadi keluau, pasar jadi pasau).

9. Kepau : Sepah (contohnya: “Ko suka betul buat kepau kat dalam bilik aku”)

10. Kumbah: (contoh: “Aku baru aja kemas baju, ko dah kumbah balik”)

11. Dak: Biasa digunakan apabila memanggil nama seseorang. Contohnya: “Kau kenal dak Samad? Duk kat belakang rumah dak Leman?”

12. Membongkah: kuat makan

13. Gobok: almari

14. Membongkang: tidur yang amat lena

15. Nau: benar (contoh: “Longat nau, besau nau, kecik nau, jauh nau, tinggi nau”)

16. Melohau: besar Sangat (Contohnya: “Seluar kau besau melohau”)

17. Sakau: Mengaut secara haram, mencuri, merampas

18. Handau: Kalah, tewas, lemah

19. Antu: Kalau di Kampung Seberang Gajah, orang tua-tua kalau nak sebut nama orang tua yang lain depan nama tu mesti ada perkataan “antu”. Contohnya: “Antu Munah dok mane?”

20. Lopak: Pencil box

21. Beledi: Baldi

22. Lemari: Almari

23. Lebang: Pemalas

Sebenarnya tak semua pun orang Melaka macam itu. Sesetengah sahaja sebenarnya.

Sebab kadang-kadang nama sahaja orang Melaka, tetapi disebabkan banyak merantau atas urusan kerja kerja atau pun sambung belajar di luar Melaka, kemungkinan cara percakapan agak berbeza.

Bagi orang Melaka yang duduk sekitar kawasan Alai, Bachang, Klebang dan Ujung Pasir, mereka ini terkenal dengan bahasa Melaka yang boleh tahan pekatnya. Kena pula orang Melaka yang pure, tiada celop-celop punya.

Kalau kawan mereka dan dah lama tak berkunjung ke rumah. Jangan terperanjat kalau mereka cakap begini bunyinya :

”Lama kau tak datang, ingatkan dah mampos !”

Nampak ucapan dan ayat tu keras dan pedas. Tapi sebenarnya konotasi percakapan mereka mesra! Tapi itulah realiti sebahagian bahasa orang Melaka. Istilah dan bahasa orang Melaka nampak sahaja ‘kahau’, tapi hati orang Melaka baik-baik belaka sebenarnya.

Baca juga artikel lain yang berkaitan: