Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) menyatakan mana-mana kerajaan negeri yang menghalang syarikat-syarikat daripada memulakan operasi bermula 4 Mei boleh dikenakan tindakan undang-undang daripada pelbagai pihak khususnya kalangan pemain industri sendiri.

Menurut beliau, kerajaan memandang serius terhadap keputusan beberapa kerajaan negeri yang tidak seiring pendirian kerajaan persekutuan untuk membuka semula ekonomi melalui Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

“Tindakan kerajaan negeri adalah tidak bersandarkan kepada punca kuasa yang sah di bawah mana-mana undang-undang dan adalah bercanggah dengan dasar Kerajaan Persekutuan. Lebih-lebih lagi memandangkan dasar Kerajaan Persekutuan tersebut telah pun dijadikan undang-undang yang berkuatkuasa di seluruh negara,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Beberapa sektor ekonomi telah dibenarkan memulakan operasi sepenuhnya bermula hari ini susulan keputusan kerajaan yang dicapai pada 29 April lepas.

Azmin Ali turut menegaskan keputusan kerajaan untuk membuka semula aktiviti beberapa sektor ekonomi di bawah PKPB itu dibuat dengan penuh teliti, berhati-hati dan bertanggungjawab serta didokong oleh data dan hasil kajian oleh Kementerian Kewangan, MITI, Bank Negara Malaysia (BNM) dan juga Khazanah Nasional Berhad.

Malah, hasil kajian terbabit telah dibentangkan untuk perbincangan dengan Menteri-Menteri Besar dan Ketua-Ketua Menteri pada Mesyuarat Majlis Keselamatan Negara (MKN) pada 28 April, 2020.

Beberapa sekatan jalan raya di jalan-jalan utama turut dialihkan ke tempat lain bermula 4 Mei 2020.

Menurutnya, hasil perbincangan dalam mesyuarat bersama pihak-pihak ini, kerajaan-kerajaan negeri turut menyedari impak ekonomi sekiranya PKP sedia ada dilanjutkan lagi sehingga bulan Jun 2020.

Kesan kumulatif kehilangan pendapatan negara dianggarkan mencapai RM146 Bilion atau kekurangan sebanyak 10.3 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) yang bakal merencatkan kemajuan ekonomi yang telah dikecapi negara sepanjang empat tahun lepas.

“Sehubungan itu, mesyuarat ini telah bersetuju untuk membuka semula sektor-sektor ekonomi dalam tempoh PKPB bermula 4 Mei, 2020. Kerajaan Persekutuan akan menyediakan Prosedur Operasi Standard (SOP) yang komprehensif dan ketat untuk digunapakai oleh semua pihak dan SOP ini disediakan kepada Kerajaan-Kerajaan Negeri.

“Bagi tujuan penjelasan, SOP ini telah pun diserahkan kepada semua Kerajaan Negeri pada 2 Mei 2020 iaitu sebelum tarikh penguatkuasaan PKPB,” katanya.

Menurut Mohamed Azmin, kerajaan telah melaksanakan PKP selaras dengan peruntukan di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 [Akta 342] bagi memastikan penularan wabak COVID-19 dapat dikawal dengan berkesan.

Pelaksanaan PKP itu turut melibatkan seluruh negara termasuk di negeri-negeri di Semenanjung Malaysia, Wilayah Persekutuan, Sarawak dan Sabah manakala peraturan-peraturan yang dibuat di bawah Akta 342 adalah undang-undang khusus bagi tujuan mencegah dan mengawal penularan COVID-19.

“Oleh itu, ia mengatasi peruntukan undang-undang bertulis lain berhubung dengan pencegahan dan pengawalan penyakit berjangkit.

“Perlu ditegaskan bahawa keputusan Kerajaan Persekutuan adalah sah dari segi undang-undang. Akta 342 telah digubal dan dikuatkuasakan mulai 1 April, 1989 berikutan persetujuan Negeri-Negeri pada masa itu termasuklah Sabah dan Sarawak untuk mewujudkan satu undang-undang yang seragam bagi tujuan mencegah dan mengawal penyakit berjangkit di Malaysia dan berkuat kuasa di seluruh negara,” katanya.

Mohamed Azmin berkata kerajaan juga telah mengambil langkah dengan mengadakan pelbagai sesi libat urus bersama pihak berkepentingan sektor-sektor ekonomi khususnya persatuan-persatuan industri, dewan-dewan perniagaan tempatan dan antarabangsa serta pengusaha-pengusaha industri kecil dan sederhana bagi mengenal pasti impak kepada kelangsungan perniagaan, rantaian bekalan dan pekerjaan.

“Justeru, keputusan kerajaan bagi membenarkan hampir kesemua sektor ekonomi beroperasi untuk memulihkan dan merangsang semula ekonomi dijangka memberi impak yang positif ke atas pertumbuhan ekonomi dan kedudukan kewangan negara, bukan sahaja di peringkat Persekutuan malahan juga bagi peringkat negeri,” katanya.

Baca juga artikel lain yang berkaitan PKPB:

Sumber: