Taman asuhan kanak-kanak (Taska) tidak dijangka dibuka sehingga Jun 2020 selepas pengusaha berkata mereka perlu mengambil beberapa siri langkah berjaga-jaga sebelum beroperasi semula.

Presiden Persatuan Pengasuh Berdaftar Malaysia, Puan Anisa Ahmad berkata pengusaha taska memerlukan masa untuk mempersiapkan operasi mereka walaupun sudah diberi tatacara pengendalian piawai (SOP) dan kebenaran untuk beroperasi oleh kerajaan bermula 4 Mei 2020.

“Tak mungkin untuk kami buka taska pada hari Isnin (4 Mei 2020). Minggu depan pun tak boleh,” kata beliau kepada The Star.

Anisa menjelaskan ada beberapa ahli persatuannya baru balik dari kampung. “Selepas balik kampung, mereka perlu menjalani kuarantin selama 14 hari terlebih dahulu sebelum boleh bekerja,” katanya.

Beliau turut menjelaskan pengusaha taska masih perlu membersih dan menyahkuman premis mereka sebelum mendapatkan kebenaran daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

“Semua proses ini akan mengambil masa.”

“Selain itu kami juga perlu mengambil kira zon apa sesebuah taska beroperasi, sama ada zon merah, oren, kuning atau hijau. Kita tak boleh suka-suka hati buka taska.”

Berdasarkan SOP yang diberi oleh Majlis Keselamatan Negara, Anisa menjangkakan taska hanya akan dibuka seawal-awalnya pada Jun 2020.

Malah walaupun selepas taska dibuka nanti, mereka tidak boleh mengambil semua kanak-kanak seperti normal kerana penjarakan sosial merupakan salah satu syarat-syarat dalam SOP.

“Jumlah kanak-kanak akan dikurangkan sebab kita nak amalkan penjarakan sosial terutamanya ketika masa tidur dan makan.

“Kami menyasarkan hanya mengambil 50% daripada jumlah kanak-kanak yang biasa kami ambil.

“Kami akan mengutamakan kanak-kanak yang ibu bapa mereka bekerja sebagai frontliners dan yang perlu kembali bekerja.”

Selain itu, ibu bapa juga perlu mengisi borang pengisytiharan kesihatan anak mereka sebelum boleh menyerahkan anak mereka kepada jagaan taska.

Ibu bapa juga dinasihatkan supaya memeriksa suhu badan anak mereka di rumah dan memastikan mereka tidak mempunyai sebarang simptom menyerupai penyakit flu sebelum menghantar anak mereka ke taska.

“Mana-mana pengasuh atau kanak-kanak yang mempunyai suhu badan melebihi 37.5 darjah Celcius tidak akan dibenarkan memasuki taska.”

Merujuk kepada SOP pembukaan taska oleh Majlis Keselamatan Negara, setiap taska wajib melakukan prosedur nyahkuman sekurang-kurangnya dua kali sehari.

Pengusaha juga perlu menyediakan cecair nyahkuman dan memakai topeng muka pada setiap masa.

Mereka juga dinasihatkan untuk memaklumkan kepada ibu bapa supaya memandikan anak mereka siap-siap di rumah dan mengelak anak mereka bersentuhan rapat dengan warga tua di rumah.

Anisa berkata sudah ramai ibu bapa mahu ahli-ahli persatuannya membuka taska bermula 4 Mei. Tetapi mereka tidak boleh berbuat apa-apa kerana perlu mengikuti SOP.

Beliau menyarankan ibu bapa supaya mencari alternatif lain buat sementara waktu.

Baca juga artikel kami lain yang berkaitan:

Sumber: