Barcelona kerap kali meletakkan tanda harga yang kurang siuman terhadap pemainnya. Selalunya, pemain muda yang berbakat mudah dipancing oleh kelab-kelab dengan kewangan kukuh seperti Real Madrid, Manchester City dan PSG.

Klausa perpindahan dengan harga tidak masuk akal ini dimulakan oleh Barcelona selepas melihat pemain ternama mereka dibeli oleh PSG. Pada tahun 2017, Neymar dengan mudah dibeli oleh PSG dengan klausa perpindahan sebanyak £198 juta.

Ketika memasuki kontrak terakhirnya bersama Barcelona, Lionel Messi memiliki tanda harga tertinggi. Pada waktu itu, Messi dinilaikan berjumlah €700 juta (£630 juta). Namun begitu, keadaan kewangan Barcelona yang goyah menyebabkan mereka terpaksa melepaskan Messi secara percuma kepada PSG.

Selain itu, Real Madrid juga mempunyai seorang pemain lagenda yang masih mempunyai tanda harga €1 bilion. Pemain tersebut baru sahaja meledak dua gol dalam pertemuan menentang Manchester City malam tadi iaitu Karim Benzema. Bagi David Alaba pula, beliau memiliki klausa perpindahan bernilai €850 juta. Ketika di kemuncak karier, Cristiano Ronaldo turut memiliki tanda harga sama di dalam kontraknya bersama Real Madrid.

Ini kisah tiga orang pemain paling berharga menurut Barcelona.

Pedri

Kredit gambar: MARCA

Biarpun sedang dilanda kecederaan hamstring, Pedri merupakan pemain tengah dengan kontrak €1 bilion. Beliau kini baru berusia 19 tahun. Pedri bermain secara professional sejak berusia 16 tahun bersama kelab Las Palmas.

Sering digelar sebagai pemain tengah berbakat, Pedri turut mampu membantu pasukan sebagai winger ataupun pemain nombor 8. Biarpun masih muda, Pedri turut diberikan peluang mewakili Sepanyol di dalam Sukan Olimpik 2022.

Pada 14 Oktober 2021, Pedri mengikat kontrak bersama Barcelona. Kontrak yang aktif sehingga 2026 itu turut meletakkan beliau sebagai pemain dengan kluasa perpindahan termahal sebanyak €1 bilion.

Ansu Fati

Kredit gambar: Football Espana

Enam hari selepas Pedri menandatangani kontrak tersebut, Ansu Fati berbuat perkara yang sama. Menariknya, kedua-dua mereka adalah sebaya. 

Pada tahun 2012, Ansu Fati mula menyertai Akademi La Masia milik Barcelona. Ketika itu, beliau baru berusia 10 tahun. Ketika baru berusia 16 tahun 298 hari, Fati menjaringkan gol pertamanya untuk Barcelona. Beliau merupakan pemain kedua paling muda yang menjaringkan gol professional bersama kelab Catalan ini.

Sejak tahun 2019, Ansu Fati telah bermain sebanyak 36 perlawanan untuk skuad Barcelona. Sebanyak 14 gol dijaringkan beliau sepanjang tempoh tersebut.

Sebagai pemain dengan keupayaan sayap dan nombor 10, Ansu Fati dianggap prospek bagi menjelmakan Lionel Messi seterusnya. Pada 20 Oktober 2021, beliau menandatangi kontrak baharu dengan Barcelona. Sehingga 2027, Ansu Fati memiliki tanda harga sebanyak €1 bilion, sama seperti Pedri.

Ronald Araujo

Kredit gambar: Sky Sports

Baru berusia 23 tahun, Ronald Araujo merupakan satu-satunya pemain pertahanan tengah dengan klausa perpindahan setinggi €1 bilion. Pemain yang berasal dari Uruguay ini menyertai Barcelona dari Boston River dengan harga hanya €1.7 juta.

Sejak tahun 2018, beliau bermain dengan skuad Barcelona B dengan 42 perlawanan dan mampu mencetak enam gol. Pada tahun 2019, beliau diserap ke pasukan utama. Bergandingan bersama Gerard Pique, sebanyak 56 perlawanan telah dilalui Ronald dengan menjaringkan sebanyak enam gol.

Kontrak beliau sebelum ini akan tamat pada 2023. Maka, pada 26 April 2022, Ronald diberikan kontrak baharu oleh Barcelona. Sama seperti Ansu Fati dan Pedri, Ronald dinilaikan berjumlah €1 bilion oleh Barcelona.