Marcus Lim, anak kepada bekas Menteri Kewangan, Lim Guan Eng beranggapan pertuduhan terhadap bapanya adalah taktik kotor untuk memberikan imej buruk buat Parti Tindakan Demokratik (DAP).

Menurut sumber Sinar Harian, Lim Guan Eng berdepan pertuduhan meminta suapan bagi membantu sebuah syarikat dilantik untuk melaksanakan Projek Pembinaan Jalan-Jalan Utama dan Terowong di Pulau Pinang ketika beliau menjawat jawatan Ketua Menteri pada Mac 2011.

Jika disabitkan kesalahan, Guan Eng boleh dihukum di bawah Seksyen 24 akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda daripada nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi.

Sehubungan dengan itu, menerusi satu hantaran di laman Facebook miliknya, Marcus menegaskan pertuduhan yang dihadapi oleh ayahnya itu adalah berunsur fitnah dengan motif untuk menghancurkan DAP dan Pakatan Harapan (PH).

“Ayah saya telah ditahan pada malam tadi. Secara jujurnya, sejak keruntuhan kerajaan Pakatan Harapan, peristiwa seperti ini telah pun dijangka berlaku.”

“Rancangan mereka mudah, fitnah dan tangkap pemimpin yang enggan tunduk kepada taktik kotor.”

Kredit foto: Facebook Marcus Lim

”Motif mereka jelas, fitnah dan cemarkan DAP sebagai sebuah parti yang korup, untuk hancurkan PH sikit demi sikit. Jelas ini adalah dakwaan politik, dan tindakan ini amat menjijikkan.”

“Lawan tetap lawan. Berani kerana benar,” ujar Marcus Lim lagi.

Hantaran tersebut telah mendapat 16,000 reaksi daripada netizen dan ada juga yang memberikan semangat kepada Marcus supaya kuat menghadapi dugaan buat keluarganya itu.

Lim Guan Eng yang kini berusia 60 tahun merupakan Ahli Parlimen Bagan dan Ahli Dewan Undangan Negeri Air Putih sejak penggal 2008.

Bagaimanapun karier politiknya sebagai Ahli Parlimen telah bermula sejak tahun 1986 apabila beliau memenangi kerusi Kota Melaka setelah memenangi Pilihanraya Umum 1986, 1990 dan 1995.

Seperti yang diketahui, tanggal 10 Mei 2018 menjadi sejarah hebat dalam kancah politik tanah air selepas Pakatan Harapan berjaya merampas tampuk pemerintahan yang sekian lama dipegang oleh Barisan Nasional.

Bagaimanapun selepas 22 bulan memerintah, PH kehilangan segalanya selepas bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir meletakkan jawatan dan akhirnya beliau digantikan dengan Tan Sri Muhyiddin Yassin [Bersatu] yang membentuk gabungan baharu yang digelar Perikatan Nasional (PN).

Kredit foto: Lim Guan Eng