Tanggapan umum bahawa kebocoran gas karbon monoksida hanya boleh berlaku pada kenderaan lama tidak benar kerana ia juga boleh berlaku pada kenderaan baharu.
Naib Pengerusi Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH) Senator Datuk T Mohan berkata selain itu syor segelintir pihak kononnya menurunkan cermin kenderaan dapat mengelak keracunan gas karbon monoksida juga tidak tepat.
“Enjin kenderaan dihidupkan dalam jangka masa panjang tanpa disedari kebocoran gas boleh berlaku daripada ekzos dan masuk ke kabin penumpang.
“Kebocoran gas itu dapat dikesan dengan tanda awal seperti perubahan suhu dalam kabin dan rasa loya. Jika ada tanda-tanda ini, tingkap perlu dibuka dengan segera selain penyaman udara dan enjin juga perlu dimatikan dengan segera,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Walau apa pun, pemandu diingatkan agar tidak tidur dalam kenderaan dengan enjin dihidupkan kerana ia boleh menyebabkan keracunan gas karbon monoksida.
Mohan turut mengingatkan pemandu yang mengantuk agar berhenti dan berehat di luar kenderaan atau di tempat sesuai dengan kitaran udara yang baik, selamat serta segar tanpa membahayakan diri sendiri.
Pengguna kenderaan juga katanya perlu memastikan penyaman udara kenderaan diselenggara sekurang-kurangnya sekali dalam tempoh enam bulan bagi mengelak insiden tidak diingini.
Tiga daripada empat sahabat yang berehat di dalam sebuah kenderaan dengan keadaan enjin dihidupkan di Butterworth, Rabu lepas maut selepas terhidu gas karbon monoksida. Seorang masih lagi dirawat di Hospital Angkatan Tentera Tuanku Mizan di Kuala Lumpur.
Mengulas mengenai kemalangan melibatkan orang awam di tapak pembinaan baru-baru ini, Mohan berkata NIOSH menasihatkan pihak pemaju, kontraktor utama dan subkontraktor mana-mana tapak pembinaan untuk menyemak semula aspek keselamatan agar ia selamat untuk pekerja dan orang awam.
Sabtu lepas seorang wanita nyaris maut apabila keretanya ditimpa sekeping konkrit berukuran satu meter persegi daripada struktur pembinaan Lebuhraya Bertingkat Sungai Besi-Ulu Kelang (SUKE) ketika sedang melalui Lebuhraya Lingkaran Tengah 2 (MRR2) berdekatan Terminal Bersepadu Selatan.