Selepas rentas daerah dibenarkan di Lembah Klang, orang ramai mengambil peluang untuk beriadah di beberapa kawasan perkelahan. Namun begitu, kita sering mendegar keluhan tentang kesesakan di kawasan-kawasan perkelahan ini. Mana tidaknya, Lembah Klang dihuni oleh hampir 7 juta penduduk. Selagi rentas negeri masih belum dibenarkan, kesesakan kawasan perkelahan pada hujung minggu dijangka akan berterusan.

Sebagai ibu bapa, keselamatan dan keselesaan anak-anak adalah perkara penting yang dititikberatkan semasa memilih kawasan riadah ini. Berikut disenaraikan beberapa kawasan perkelahan yang boleh dijadikan rujukan untuk mereka yang tinggal di sekitar Lembah Klang.

1. Air Terjun Sungai Tekala

Kredit gambar: YouTube

Kawasan perkelahan ini sangat terkenal dengan penduduk ibu kota. Ia terletak di Hutan Rekreasi Sungai Tekala, kira-kira 39 km dari pusat bandar Kuala Lumpur. Tanpa kesesakan trafik, anda boleh memandu selama 45 minit dari pusat bandar untuk tiba ke kawasan Sungai Tekala. Kawasan air terjun ini juga terletak berdekatan dengan Empangan Semenyih.

Bagi pengunjung yang mempunyai anak yang masih kecil, Sungai Tekala merupakan pilihan yang tepat untuk anda. Arus airnya yang tidak deras serta mempunyai tadahan-tadahan air yang memudahkan kawalan ibu bapa terhadap anak-anak kecil.

Bayaran masuk minima sebanyak RM2 dikenakan kepada setiap pengunjung. Antara kemudahan yang disediakan termasuklah parkir kereta yang luas, pondok rehat, tandas dan surau.

2. Air Terjun Sungai Gabai

Kredit gambar: Xplorasi Destinasi

Air terjun Sungai Gabai terletak di Hutan Lipur Sungai Gabai. Ia terletak kira-kira 38 km dari pusat bandar Kuala Lumpur. Hutan Lipur Sungai Gabai terletak di dalam daerah Hulu Langat, bersempadan hutan dengan daerah Jelebu.

Kejernihan air sungai di Air Terjun Sungai Gabai dikatakan menjadi punca ia menjadi pilihan pengunjung. Seawal pagi lagi, warga kota akan mula memenuhi segenap ruang di tepian Sungai Gabai untuk berkelah bersama keluarga.

Sungainya kurang berbatu dan air terjun yang tidak terlalu tinggi memudahkan anak-anak untuk bermandi-manda di sini.

3. Sungai Congkak

Kredit gambar: Pojiegraphy

Kawasan perkelahan terkenal ini terletak di dalam kawasan Hutan Lipur Sungai Congkak, Hulu Langat. Ia terletak kira-kira 35 km dari pusat bandar Kuala Lumpur. Terletak kira-kira 150 meter dari aras laut, ia terletak berhampiran dengan pintu masuk ke Gunung Nuang.

Diuruskan oleh Tourism Selangor Sdn Bhd (TSSB), Sungai Congkak adalah antara kawasan perkelahan yang dijaga dengan begitu rapi. Ia lengkap dengan pelbagai kemudahan seperti resort dan kawasan lapang untuk beraktiviti secara berkumpulan. Maka, tidak hairanlah ia kawasan ini sering menjadi tumpuan orang ramai pada hujung minggu.

Kawasan perkelahan ini dibahagikan kepada enam zon dengan laluan khas yang memudahkan pengunjung. Antara kemudahan yang disediakan di sini termasuklah tapak perkhemahan, tempat barbeku, pondok rehat, tandas, kawasan lapang, bilik persalinan dan lain-lain.

4. Air Terjun Sungai Kanching

Kredit gambar: Blog Mazni Munawar

Dikenali sebagai Taman Eko Rimba Kanching, ia terletak di antara Bandar Rawang dan Kuala Lumpur. Ia merupakan kawasan pilihan orang ramai dari Kuala Lumpur kerana kedudukannya yang sangat hampir dengan ibu kota, iaitu kira-kira 25 km. Sama seperti Sungai Congkak, Taman Eko Rimba Kanching diuruskan oleh Tourism Selangor Sdn Bhd (TSSB).

Pada hujung minggu, kawasan air terjun ini sangat terkenal sebagai lokasi untuk berkhemah, berkelah dan aktiviti meredah hutan. Laluan atau trek di hutan ini adalah agak mudah bagi yang mula ingin berjinak-jinak untuk meredah hutan. Kawasan air terjunnya juga mempunyai tujuh lapisan air terjun yang cantik. Pengunjung boleh memilih untuk mandi di mana-mana air terjun tersebut mengikut kesesuaian mereka.

Antara kemudahan yang disediakan termasuklah surau, tandas, bilik persalinan dan pondok rehat. Bayaran masuk yang dikenakan adalah RM 1 seorang dan RM 2 untuk caj parkir bagi sebuah kereta.

5. Air Terjun Templer Park

Kredit gambar: Pixabay

Bersebelahan dengan Taman Eko Rimba Kanching, terdapat satu lagi kawasan perkelahan popular iaitu Templer Park. Berbeza dengan Sungai Kanching, Templer Park diuruskan oleh Majlis Perbandaran Selayang.

Pondok rehat, bilik persalinan, tandas dan surau disediakan bagi memudahkan pengunjung. Selain itu, laluan khusus serta jambatan kecil turut dibangunkan bagi menjamin keselamatan pengunjung, terutamanya anak kecil. Bagi ibu bapa dengan anak kecil juga, terdapat kolam mandian dengan air sungai semula jadi yang dibangunkan di sini untuk memudahkan mereka bermandi manda.

Templer Park juga lengkap dengan kedai makan, tapak perkhemahan serta chalet bagi mereka yang berminat untuk bermalam di sini.