Jenama Maggi merupakan produk yang tidak asing lagi bagi rakyat Malaysia dan Singapura. Mana tidaknya, mi segera dari jenama yang lain seperti Cintan dan Adabi akan dirujuk sebagai Maggi. Pada tahun 1983, terdapat iklan popular mi segera ini yang kekal klasik sehingga hari ini.
“Mi Maggi, cepat dimasak, sedap dimakan”. Dendang iklan tersebut kekal diingati sehingga ke hari ini. Namun begitu, tahukah anda Maggi bukanlah jenama tempatan? Ia berasal dari Switzerland dan sebenarnya dicipta khusus bagi menyelesaikan masalah ibu-ibu di sana.
Fokus awal Maggi, cepat dan berkhasiat
Seperti kebanyakkan tempat di seluruh dunia, revolusi industri turut menimpa Switzerland. Ini menyebabkan kaum ibu yang sebelum ini hanya memasak di dapur, turut sama turun ke kilang-kilang dan bekerja. Keadaan ini menyebabkan mereka kekurangan masa untuk menyediakan makanan di dapur.
Idea awal Julius Michael Johannes Maggi adalah untuk mencipta formula makanan yang pantas disediakan dan menyihatkan. Atas usaha tersebut, Maggi bekerjasama dengan seorang pakar nutrisi makanan bernama Dr Fridolin Schuler. Seperti Maggi, Schuler juga mempunyai visi yang sama untuk mencipta makanan yang sihat dan mudah disediakan kepada rakyat Switzerland.
Pada awal 1880-an, mereka menghasilkan tepung yang diperbuat dari kekacang. Kekacang dipilih kerana kaya dengan nutrient dan lebih murah berbanding daging. Hasil awal idea mereka kurang bernas dan tidak mendapat sambutan yang menggalakkan.
Pada tahun 1885, Maggi berjaya menghasilkan klhive untuk sup segera. Ia merupakan ciptaan klhive sup pertama seumpamanya di dunia dan berjaya mendapat tempat di hati pengguna. Tahun berikutnya, Maggi mengeluarkan perasa Maggi yang akhirnya menjadi penanda aras bagi perasa makanan lain di dunia.
Pengembangan syarikat dan penjualan kepada Nestle
Dalam masa beberapa tahun sahaja, Maggi telah berjaya menghasilkan klhive sup pelbagai perisa. Ia juga berjaya menghasilkan sos, kuib perasa serta beraneka produk lain yang sangat mementingkan kualiti dan memudahkan kaum ibu di dapur.
Maggi kemudiannya berkembang maju dan membuka beberapa cawangan di luar Switzerland seperti di Amerika, Perancis dan lain-lain. Julius Maggi meninggal dunia pada tahun 1912 disebabkan penyakit strok. Menjelang tahun 1947, sebuah lagi syarikat multinasional dari Switzerland iaitu Nestle telah mengambil alih sepenuhnya perniagaan Maggi.
Ia dilihat sebagai satu pengekalan di mana Nestle juga mempunyai visi yang sama seperti Maggi. Nestle dibangunkan untuk memudahkan golongan pekerja bagi mendapatkan makanan dan minuman yang lebih berkhasiat pada harga yang rendah.
Jenama Maggi terus dikekalkan di dalam produk-produk keluarannya. Pada hari ini, Maggi merupakan antara penyumbang utama kepada kejayaan Nestle disamping jemana-jenama lain seperti Nescafe, Kit Kat, Smarties, Milo dan Vittel.
Jasa Julius Maggi dengan menghasilkan makanan segera berkhasiat pada harga yang berpatutan kekal sehingga kini.