Bintang England dan Manchester United yang baru berusia 23 tahun, Marcus Rashford dilaporkan mendahului senarai penderma The Sunday Times Giving. Senarai tersebut merupakan acara tahunan yang mengukur jumlah derma yang dibayar oleh hartawan di United Kingdom (UK) berbanding jumlah harta yang dimiliki mereka.

Menurut senarai tersebut, Marcus Rashford dinilaikan memiliki harta sebanyak £16 juta pada tahun lalu, berbanding jumlah derma beliau sebanyak £20 juta. The Sunday Times Giving menilaikan beliau di tempat pertama dengan nilai derma berbanding harta sebanyak 125 peratus.

Antara usaha keras Marcus Rashford sepanjang pandemik Covid-19 tahun lalu adalah memastikan kanak-kanak dari keluarga yang tidak berkemampuan untuk mendapatkan makanan seimbang. Penutupan sekolah menyebabkan kanak-kanak ini tidak mendapat makanan berkhasiat yang dibekalkan oleh kantin sekolah. Rashford memulakan kempen #endchildfoodpoverty dengan bekerjasama bersama pasaraya terkemuka di UK untuk membekalkan makanan kepada kanak-kanak miskin. Usaha beliau tidak terhenti di situ sahaja apabila petisyen kepada Parlimen UK yang dilobi dan disokong oleh Rashford menerima 1,113,879 undian.

Petisyen tersebut menyebabkan kerajaan UK tidak menghentikan program makanan percuma kepada kanak-kanak miskin di sekolah, biarpun semasa pandemik yang menyebabkan sekolah ditutup. Usaha beliau mendapat pengiktirafan kerajaan, apabila Baginda Ratu Queen Elizabeth berkenan untuk menganugerahkan Marcus Rashford dengan pingat Member of the Most Excellent Order of the British Empire (MBE).