Sebuah agensi di bawah Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), InvestKL bakal melancarkan dua projek digital bakal menumpukan kepada usaha bagi menonjolkan Lembah Klang, yang akan dikenali sebagai Greater KL di dalam projek tersebut. Ia bertujuan untuk menonjolkan Greater KL sebagai destinasi pelaburan utama di Asia.

Greater KL merupakan terma yang menggabungkan Lembah Klang dan kesemua 11 bandaraya dan perbandaran di sekitarnya iaitu Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Perbadanan Putrajaya (PPj), Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Majlis Perbandaran Selayang (MPS), Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ), Majlis Perbandaran Kuala Langat (MPKL) dan Majlis Perbandaran Sepang (MPSp). Keluasan keseluruhan Greater KL adalah 2,793.27 km persegi.

Sehinga tahun lalu, Greater KL dianggarkan mewakili 40 peratus daripada keseluruhan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) Malaysia dengan jumlah USD332 bilion (RM1.342 trillion).

Projek laman web serba baharu InvestKL

Kredit gambar: https://www.investkl.gov.my/about-investkl/about-us

Menurut InvestKL lagi, projek ini adalah sebahagian daripada usaha berterusan pihaknya menarik syarikat multinasional Fortune 500 dan Forbes 2000 selain syarikat yang berkembang pesat untuk mewujudkan hab serantau dan aktiviti bernilai tinggi di Greater KL. Bagi tujuan tersebut, sebuah laman web yang baru sedang direka untuk membantu dan meningkatkan lagi pengalaman pengguna, terutama pelabur asing yang mencari pandangan dan rujukan perniagaan Greater KL.

Laman web ini kelak bakal mempunyai reka bentuk moden yang canggih, navigasi dan fungsi yang lebih baik yang membolehkan pencarian lancar ke pelbagai sumber pelabur. Ia juga dilengkapkan dengan halaman blog baharu ‘Spotlight Greater KL’ dan bahagian podcast ‘InvestKL Conversations’ yang memaparkan perbincangan dengan syarikat multinasional, pemimpin akademik dan banyak lagi.

Selain itu, laman web ini dilengkapi dengan ‘chatbot’ bernama Kayla pada fasa seterusnya untuk memberikan sokongan berdasarkan nilai dan kemudahan hubungan untuk pelabur semasa dan berpotensi.

Pengalaman realiti maya (VR) untuk bakal pelabur

Kredit gambar: https://lokalocal.com/vr/investkl/

Projek digital kedua adalah adalah menggunakan pengalaman realiti maya (VR) menerusi kerjasama dengan LokaLocal, penyedia teknologi yang mencipta penyelesaian perniagaan melalui VR dan augmented reality (AR). Dengan satu klik sahaja, lawatan ini mengemudi bakal pelabur ke tempat tarikan Greater KL seperti River of Life, Merdeka Square dan Monumen Nasional.

Selain itu juga, bakal pelabur akan dibawa ke pusat perniagaan yang menarik seperti Pusat Bandaraya Kuala Lumpur, Bangsar South dan Cyberjaya dengan menawarkan pemandangan hebat mengenai pembangunan, kemudahan dan infrastruktur bandar. Bagi melengkapkan pengalaman tersebut, lebih banyak lagi pusat perniagaan dijangka dirakam dan ditampilkan dalam fasa kedua.

Menurut InvestKL, simulasi ini akan memudahkan dan membolehkan pelabur merasai pengalaman menjalankan perniagaan di Greater KL dari mana sahaja di dunia. Era baharu pasca pandemik ini menuntut agensi kerajaan seperti InvestKL untuk meningkatkan kesedaran mengenai peluang pelaburan di Greater KL sepenuhnya menggunakan teknologi.