Data dua kajian perubatan yang berasingan di Chile dan Israel membuktikan suntikan vaksin Covid-19 Sinovac dan Pfizer dapat mengurangkan risiko jangkitan dan tempoh rawatan. Menurut kenyataan Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, tidak banyak perbezaan ditemui antara vaksin Sinovac dan Pfizer dalam penggunaan di lapangan perubatan secara praktikal. Setakat ini, kedua-dua vaksin tersebut mempunyai keberkesanan yang sama dalam melawan virus Covid-19.

Data tersebut dirakam oleh pengalaman 10.2 juta penerima vaksin di Chile yang menggunakan vaksin Sinovac dan diterbitkan dalam laporan New England Journal of Medicine 7 Julai lalu. Menurut Ketua Pengarah Kesihatan itu lagi, kedua-duanya sangat efektif dalam mengelakkan penyakit teruk akibat Covid-19 dan sehingga dimasukkan ke hospital.

Keberkesanan vaksin Pfizer di Israel dan Sinovac di Chile

Kredit gambar: https://www.nst.com.my/news/nation/2021/05/689268/180k-sinovac-vaccine-doses-bottled-pharmaniaga-be-ready-week

Kementerian Kesihatan Israel sebelum ini melaporkan bagaimana vaksin Pfizer mengurangkan jangkitan sebanyak 64 peratus terhadap Covid-19. Selain itu, kementerian tersebut juga menjelaskan Pfizer menunjukkan 93 peratus berkesan terhadap simptom yang menyebabkan kemasukan ke hospital dan gejala serius.

Data bagi penggunaan vaksin Sinovac dikutip dari 2 Februari sehingga 1 Mei tahun ini di Chile dengan seramai 10.2 juta penduduknya telah menerima vaksin tersebut. Daripada data tersebut, Sinovac dilihat efektif dengan keberkesanan sebanyak 65.9 peratus untuk membendung Covid-19.

Sebanyak 87.5 peratus daripada penerima vaksin pula selepas dijangkiti, tidak perlu mendapatkan rawatan di hospital. Manakala vaksin Sinovac berkesan membantu 90.3 peratus daripada pesakit Covid-19 untuk tidak memerlukan di ICU. Data juga menunjukkan dua dos vaksin tersebut mampu membendung 86.3 peratus dari kematian akibat Covid-19.

Keberkesanan vaksin AstraZeneca

Kredit gambar: https://codeblue.galencentre.org/2021/05/04/malaysia-sets-12-week-dosing-interval-for-astrazeneca-vaccine/

Selain vaksin Pfizer-BioNTech dan Sinovac, rakyat Malaysia juga menerima suntikan vaksin AstraZeneca. Antara data kesihatan terawal yang dikeluarkan di dalam jurnal Nature menunjukkan vaksin tersebut berkesan membendung penularan wabak Covid-19 sebanyak 76 peratus.

Kajian terkini pula menunjukkan suntikan vaksin Covid-19 Oxford-AstraZeneca memberikan perlindungan kuat yang boleh bertahan seumur hidup. Selain menghasilkan antibodi yang mematikan virus, vaksin itu juga dikatakan mampu mewujudkan seakan-akan kem latihan sel-T di dalam tubuh bagi mencari dan memusnahkan, termasuk varian baharu. Ini bermakna, tubuh boleh terus menghasilkan sel penting dalam tempoh yang lama selepas antibodi berkurangan dan mungkin untuk sepanjang hayat.

Saintis dari Universiti Oxford dan Prof Burkhard Ludewig dari Switzerland yang menulis dalam jurnal Nature, berkata perlindungan sel-T adalah ciri utama vaksin melalui teknologi vektor adenovirus seperti Oxford dan Johnson & Johnson. Sel-T yang dihasilkan daripada kem latihan selular itu memiliki tahap kecergasan yang sangat tinggi. Adenovirus berkembang bersama manusia dalam tempoh yang sangat lama dan banyak belajar mengenai sistem imun manusia dalam proses itu.