Penyanyi tersohor tanah air, Datuk Seri Siti Nurhaliza Tarudin mengakui beliau menimbang pandangan dari banyak pihak sebelum membuat keputusan untuk kembali menyanyi di pentas Anugerah Juara Lagu (AJL) tempoh hari.

Seperti yang disaksikan hampir jutaan peminat di kaca televisyen pada Ahad lalu, Siti Nurhaliza menggamatkan Axiata Arena apabila tampil bagi membantu Bob Yusof dalam menyanyikan lagu Anta Permana, yang juga merupakan lagu asal nyanyian beliau.

Kehadiran penyanyi berusia 41 tahun kelahiran Pahang itu mendapat sorakan gemuruh daripada para peminat yang pastinya merindui kelibatnya di pentas AJL yang kali terakhir dapat disaksikan kira-kira 12 tahun lalu.

Menurut sumber Berita Harian (BH) Online, Datuk Seri Siti Nurhaliza mendedahkan sebab yang mendorongnya kembali menyanyi dan turut berniat untuk memberikan sokongan kepada Bob tanpa mengubah segala perancangan awal yang dirangka buat persembahan tersebut.

“Keputusan ini berlaku pada detik akhir dan cukup spontan. Ibarat sekelip mata dan bukan dirancang awal.”

“Berat sebenarnya dalam hati untuk kembali membuat persembahan di AJL. Apatah lagi, saya sudah memberi kepercayaan kepada Bob dan yakin dengan bakat dimilikinya.”

“Namun, atas sokongan sebagai sahabat dan ditambah pula lagu ini cukup istimewa dicipta khusus Hael dan Ezra, jadi saya bersetuju memeriahkan persembahan.”

“Malah, dari awal lagi, ketika lagu ini dilancarkan, Anta Permana mendapat sokongan luar biasa hingga tular,” ujar Siti Nurhaliza lagi.

“Saya mengikut apa yang diatur dan ditetapkan Bob dari awal termasuk susunan muzik.”

“Saya hanya mengikut dan menyanyi ikut ‘key’ Bob sekaligus bertindak sebagai suara kedua untuk lebih harmoni. Pada malam itu, saya hanya mahu ‘enjoy’.”

Kali terakhir Datuk Seri Siti Nurhaliza menyertai pentas AJL adalah pada tahun 2008 dan beliau pada ketika itu menyanyikan lagu Destinasi Cinta. Selepas itu, beliau memilih untuk tidak akan lagi bertanding dalam pentas tersebut.

Dalam perkembangan lain, Siti Nurhaliza dilaporkan baharu sahaja menjalani satu pembedahan kecil di sebuah pusat rawatan swasta sebagai persediaan hamil. Beliau akan menggunakan kaedah rawatan persenyawaan in-vitro (IVF) seperti yang dilakukannya untuk kandungan pertama.

Kredit foto: Siti Nurhaliza Official