Peminat durian berpeluang untuk menikmati Musang King pada harga 20-50% lebih rendah pada musim durian kali ini. Ini disebabkan oleh penularan wabak koronavirus, Covid-19 yang menghalang pelancong China daripada melawat Malaysia dan lambakan bekalan di pasaran.

The Star melaporkan sekilo (1kg) Musang King kini hanya berharga RM24-33. Sebelum ini, sekilo Musang King berharga RM55.

“Kami mengalami masa mencabar kerana penularan wabak Covid-19,” dedah Tan Chee Keat, seorang peraih durian. “Pesanan eksport kami turun 70% selepas Tahun Baru Cina.”

China adalah pengimport terbesar industri durian di Malaysia. Pada tahun 2018, jumlah nilai keseluruhan eksport durian ke China bernilai RM9.44 juta, bersamaan dengan 235.62 tan durian. Selain China, Malaysia mengeksport ke Singapore, Thailand, Hong Kong, Australia dan Amerika Syarikat.

Wabak Covid-19 yang mula menular ke seluruh dunia pada awal tahun memaksa kerajaan Malaysia meluaskan larangan masuk kepada pelancong China dari satu wilayah (Wuhan) kepada tambahan dua wilayah iaitu Zhejiang dan Jiangsu.

Peraih durian ketika ini sedang pening memikirkan bagaimana untuk menjual lambakan bekalan Musang King berikutan pengurangan jumlah pelancong China ke Malaysia baru-baru ini.

“Sayang sebab bekalan durian di Pulau Pinang sekarang tengah banyak kerana musim panas yang panjang. Durian kita sedang berbunga dengan banyak. Tapi kita kena tengok musim hujan pada Mac yang akan mempengaruhi kuantiti dan kualiti durian,” jelas Tan lagi.

Seorang lagi peniaga durian memberitahu kedainya sudah mengalami kemerosotan jumlah pelanggan sebanyak 50% sejak penularan wabak Covid-19.

Majoriti pelanggannya datang dari penumpang kapal persiaran dari China, Indonesia, Singapura dan Hong Kong. Wabak Covid-19 membuatkan beliau terpaksa mengharapkan permintaan domestik untuk menyerap impak yang dihadapi oleh perniagaan beliau.

Bagaimanapun beliau berkata pelanggan domestik jarang-jarang makan durian di luar musim seperti sekarang. “Orang Pulau Pinang biasanya datang makan durian pada bulan Mei, Jun dan Julai – semasa musim durian di sini.”

Durian di Pulau Pinang biasanya tidak dieksport ke China; tidak seperti durian di Pahang dan Johor. “Walaupun saya tak eksport durian ke China, saya pasti perniagaan mereka akan terjejas jika durian mereka tak boleh dieksport.”

Beliau bagaimanapun tidak dapat memberi jawapan sama ada harga durian akan terus jatuh di bawah RM24/kg kerana ‘ia bergantung kepada permintaan pasaran dan bekalan.’