Polis Sungai Buloh Nafi Kedai Mesin Judi Bermaharajalela

Polis hari ini menafikan dakwaan seorang pengguna laman sosial kononnya tiada tindakan diambil terhadap premis perjudian di sekitar Bandar Baru Sungai Buloh di sini.

Ketua Polis Daerah Sungai Buloh Supt Shafa’aton Abu Bakar berkata berdasarkan statistik sehingga Julai tahun ini, polis telah melakukan 40 serbuan dan 132 tangkapan bagi kes perjudian di sekitar kawasan berkenaan.

Katanya, pada tahun lepas sahaja, polis melakukan 91 serbuan dan 107 tangkapan sekali gus membuktikan bahawa polis tidak pernah bersekongkol dalam aktiviti perjudian.

“Polis juga pernah melakukan serbuan dan tangkapan kes perjudian di lokasi-lokasi yang didedahkan oleh pengguna laman sosial itu pada tahun ini.

“Kali terakhir operasi adalah pada dua minggu lepas dan ini menunjukkan yang dakwaan pemilik akaun tersebut bahawa tiada tindakan diambil adalah satu fitnah dan tohmahan tidak berasas,“ katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Sungai Buloh di sini, hari ini. 

Semalam, tular satu video yang disiarkan secara langsung menerusi laman sosial Facebook Hot Burger Malaysia serta dikongsi akaun Asri Janggut mendakwa pihak berkuasa tidak mengambil tindakan terhadap kes judi serta mendedahkan lokasi perjudian di Bandar Baru Sungai Buloh di sini. 

Shafa’aton berkata polis telah membuka kertas siasatan berhubung dakwaan itu dan akan memanggil pengguna laman sosial berkenaan untuk memberikan keterangan. 

“Polis telah membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 500 dan Seksyen 504 Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

“Pemilik akaun ini telah dikenalpasti dan polis juga menerima laporan daripada pihak Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) berhubung rakaman video itu,” katanya.

Dalam pada itu, Shafa’aton berkata polis melakukan enam serbuan di sekitar Bandar Baru Sungai Buloh semalam dan menahan dua lelaki warga Bangladesh kerana terlibat kegiatan perjudian.

“Terdapat beberapa premis yang diserbu berkunci dan dipercayai telah lama tidak beroperasi. Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kegiatan perjudian atau penyeludupan diminta untuk terus menyalurkannya kepada pihak polis,” katanya.

Beliau berkata polis bekerjasama dengan pelbagai agensi seperti Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Jabatan Imigresen dan lain-lain dalam menangani isu perjudian atau penyeludupan rokok di daerah ini.

Asri Janggut: polis patutnya berterima kasih

Sementara itu, pengadu dan pemuat naik video tular tersebut, Mohd Asri Hamid, 42, berkata pihak polis perlu berterima kasih kepadanya kerana membantu kerja mereka.

“Ia bukan tohmahan, ini cerita betul. Sepatutnya polis menghubungi saya ucap terima kasih, hantar bunga kepada saya, sepatutnya begitu, sebab saya sudah bagi maklumat,” katanya dalam satu rakaman yang dimuat naik dalam laman sosial Facebook Malakat Tribune.

“Bukan saya tidak pernah maklum kepada polis, saya pernah memaklumkan perkara itu di Jabatan Integriti Pematuhan Standard Bukit Aman, tapi tiada sebarang tindakan susulan.

“Malah apabila saya melaporkan maklumat mengenai kegiatan perjudian di kawasan itu, saya dapati identiti saya bocor kepada sindiket perjudian,” katanya.

Dakwa Mohd Asri, selepas memaklumkan tentang kegiatan perjudian, tiba-tiba seorang lelaki dipercayai ahli sindiket judi memanggil pekerjanya dan mempersoalkan tindakannya sebagai majikan memaklumkan tentang aktiviti premis perjudian.

“Tidak lama selepas kejadian itu, sindiket berkenaan kemudian membuka dua premis mesin judi di mana salah satunya terletak di sebelah kedai saya.

“Justeru, dengan siapa lagi saya nak mengadu, dengan siapa lagi saya nak berharap kalau bukan polis,” katanya.

Mohd Asri bagaimanapun memuji tindakan Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador yang segera memberikan kenyataan pantas untuk menyiasat segala dakwaannya.

Mohd Asri turut menjelaskan mengenai masalah yang timbul dengan pihak berkuasa tempatan (PBT) kawasan itu iaitu Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA).

“Bayangkan, masa baru habis Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), penguatkuasa MBSA datang kedai saya keluarkan saman dan sita barang saya. Tapi itu saya tak kisah kerana adat dan lumrah mana-mana peniaga.

“Tetapi mereka sanggup biarkan peniaga warga asing yang menjual rokok seludup dan tidak mengambil tindakan terhadap kegiatan premis perjudian. Adakah itu adil,” katanya.

Baca juga artikel lain yang berkaitan:

Sumber:

Bacaan Seterusnya