Susulan permohonan Tomok yang mahu kerajaan turut membantu artis yang pendapatannya terjejas oleh kerana wabak COVID-19, netizen yang tak berpuas hati bertindak mengorek berita lama yang menunjukkan kekayaan mereka.
‘Perang’ antara artis dengan netizen tercetus susulan kenyataan penyanyi Tomok yang merayu supaya mereka turut diberikan perhatian oleh kerajaan dalam Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat.
Menurut Tomok:
“Golongan anak seni juga tidak terkecuali daripada menerima tamparan hebat ini di mana segala aktiviti seni kami tidak kira penyanyi, pelakon, pemuzik, krew penerbitan, produksi drama atau filem semuanya terjejas, ditunda atau terpaksa dibatalkan.”
“Ianya memberikan impak yang besar pada mereka di mana kebanyakan anak seni dan penggiat seni ini menjadikan bidang ini sebagai sumber pendapatan mereka.”
“Begitu juga dengan artis-artis senior tanahair yang kurang bernasib baik semoga pihak berwajib dapat membantu lagenda-lagenda kita ini.”
Kenyataan Tomok yang dibuat sehari sebelum Perdana Menteri mengumumkan Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat itu turut mendapat sokongan rakan artis-artis lain seperti Black, Hairul Azreen, Shuib Sepahtu dan Achey Kintang Kintung.
Tetapi lain pula ceritanya dengan penerimaan netizen.
Netizen tak setuju artis perlu diberi perhatian istimewa
Majoriti netizen menganggap permintaan Tomok supaya artis diberikan perhatian istimewa oleh kerajaan sebagai tidak munasabah.
“Maaflah Tomok. Saya rasa ramai lagi yang lebih memerlukan berbanding artis,” kata seorang wanita di bahagian komen.
Seorang lagi netizen menulis:
“Time dapat show sana sini itu mana semua duitnya? Beli itu ini melabur sana sini. Biasalah orang kalau dah senang memang lupa. Padahal ramai lagi yang memerlukan bantuan. Ramai lagi yang susah. Rumah besar kereta besar harta banyak. Tapi bila time terdesak macam sekarang ni? Jual la kasut-kasut baju-baju jam tu semua.”
Dalam pada masa yang sama, ia mencetus perdebatan hangat antara artis yang rata-ratanya menyokong kenyataan berani Tomok dengan netizen yang rata-ratanya tidak bersetuju.
Seorang netizen berkata beliau tak faham artis yang mempunyai kereta Toyota Vellfire boleh bersetuju dengan cadangan bahawa kerajaan perlu membantu mereka:
Ada tampil pertahan (dan kutuk) Tomok
Pelakon Tony Eusoff pula tampil mempertahankan kenyataan Tomok dan meminta netizen faham – tak semua artis hidup seperti ‘selebriti’ yang mereka lihat di media sosial.
Ada juga netizen yang mempertahankan kenyataan Tomok. Menurut mereka, Tomok tidak bercakap tentang diri mereka – sebaliknya tentang krew belakang tabir.
Tetapi netizen membalas, jika pendapatan krew belakang tabir terjejas, apa salahnya mohon bantuan kewangan daripada kerajaan seperti rakyat biasa yang lain.
Tetapi ada juga artis yang tidak bersetuju dengan kenyataan Tomok. Pelakon Zarina Anjoulie memberitahu semasa senang, “tak ada anjing kucing pun yang kisah pasal artis veteran”.
Korek kisah kemewahan artis
Ada juga netizen yang bertindak mengorek semula berita-berita yang menunjukkan kekayaan artis sebelum wabak COVID-19.
“Silaplah artis yang cari pasal dengan netizen ni. Habis semua berita lama depa cari sampai ke lubang cacing,” tulis seorang netizen.