Electronic Arts Inc. sedang merancang sesuatu di luar jangkaan semua peminat permainan videonya, membuang nama FIFA dari FIFA. Bermula dari tahun 1993 sebagai FIFA International Soccer tanpa nama sebenar pemain, FIFA kekal bersama EA Sports sehingga edisi FIFA 22.

Masalah yang dihadapi oleh perjanjian bernilai ratusan juta dolar itu adalah jumlah bayaran yang diminta. Menurut laporan The New York Times, badan bola sepak antarabangsa itu meminta bayaran lebih dua kali ganda daripada perjanjian asal mereka sebelum ini.

Taktik ini biasa digunakan oleh pemain terhadap kelab mereka untuk mendapatkan gaji yang lebih tinggi. Sergio Ramos dan kisah tuntutan perpindahan ke Manchester United merupakan contoh klasik. Namun begitu, apa pun tujuan FIFA menekan EA Sports nampaknya tidak berhasil.

EA Sports dilihat bersedia untuk menggugurkan terus nama FIFA bagi edisi tahun hadapan.

Sejarah EA Sports dan FIFA

Kredit gambar: Goal

Hampir tiga dekad yang lalu, Electronic Arts Inc mungkin sangat memerlukan FIFA. Perjanjian hak menggunakan nama FIFA ini bermula pada tahun 1993 dengan permainan video pertama, FIFA International Soccer.

Menggunakan teknologi video 16 bit ketika itu, FIFA International Soccer menampilkan pasukan kebangsaan tanpa kelab. Ia juga tidak menggunakan nama sebenar pemain.

Hanya untuk edisi seterusnya iaitu FIFA 1995, EA Sports memperkenalkan pasukan kelab. Ia bagaimanapun hanya melibatkan liga daripada beberapa buah negara. Lapan buah negara yang liga mereka tersenarai adalah Brazil, Jerman, Itali, Sepanyol, Perancis, Belanda, United Kingdom dan Amerika Syarikat.

Perkembangan dan fakta-fakta menarik FIFA

Kredit gambar: Goal

Hanya pada edisi FIFA 96, nama sebenar pemain digunakan di dalam permainan video tersebut. Edisi ini juga merupakan keluaran pertama dengan teknologi 3D.

Untuk FIFA 97 pula, pemain mula dijelmakan dalam betul poligonal. Ini juga merupakan edisi dengan tambahan pelbagai tambahan liga, termasuklah Malaysia. Bagi FIFA 97 juga, ia merupakan keluaran pertama dengan ulasan permainan oleh John Motson, bersama-sama dengan Andy Gray dan Des Lynam.

Bagi edisi FIFA: Road to World Cup 98, ia merupakan keluaran pertama dengan lagu tema. Ia juga mempunyai grafik yang ditambah baik dan merupakan edisi pertama dengan peraturan offside. Liga Malaysia dikeluarkan pada edisi FIFA 99, dan liga Belgium dan Portugal pula mula diperkenalkan.

Jumlah bayaran dan kontroversi

Kredit gambar: Inverse

Saban tahun, Electronic Arts Inc membayar sejumlah $150 juta kepada FIFA untuk menggunakan nama badan dunia itu. Sepanjang tahun lalu, EA menjual 31 juta FIFA 21 dengan jumlah keseluruhan jualan sebanyak $1.6 bilion. Sekiranya dilihat pada jumlah jualan tersebut, hak menggunakan nama FIFA mencecah hampir 10 peratus daripada jualan keseluruhan.

Selain isu kewangan, terdapat juga kontroversi mengenai hak penggunaan permainan video ini di luar konteks konsol semata-mata. FIFA mahukan mengawal hak EA untuk tertumpu kepada permainan video semata-mata.

EA pula melihat kepada penggunaan permainan video ini secara lebih menyeluruh. Sebagai contoh menyiarkan tayangan sedutan permainan bola sepak sebenar di dalam FIFA. Eksplorasi penjualan aksi dalam bentuk NFT juga disentuh. FIFA, tanpa pengetahuan mendalam tentang selok belok permainan video dilihat hanya mahu mengawal sumber kewangan yang diperolehi EA di luar penjualan permainan video.

Maka, dengan rancangan masa depan tersusun Electronic Arts Inc dan perjanjian eksklusifnya bersama FIFPro untuk terus menggunakan nama pemain, EA dilihat bersedia tanpa FIFA. Dan berkemungkinan besar, FIFA 22 di dalam tangan anda merupakan edisi terakhir.