Pada tahun 2021, mata wang kripto mempunyai transaksi yang bernilai RM66.4 trilion ($15.8 trilion). Jumlah tersebut merupakan kenaikan mendadak sebanyak 567 peratus berbanding transaksi mata wang kripto bagi tahun 2020. Ini adalah berdasarkan kajian Chainalysis, sebuah pangkalan data blokchain di New York, Amerika Syarikat.

Kenaikan mendadak ini didorong oleh banyak faktor. Seperti industri lain yang berasaskan internet, mata wang kripto juga mendapat permintaan yang tinggi akibat pandemik yang melanda seluruh dunia.

Lonjakan transaksi ini juga membawa bersama kenaikan transaksi membabitkan jenayah kripto. Jenayah membabitkan mata wang kripto mencecah paras tertinggi sebanyak RM58.98 bilion ($14 bilion) sepanjang tahun lalu.

Selain transaksi jenayah, mata wang kripto yang dicuri juga meningkat sepanjang tahun lalu.

Peningkatan transaksi jenayah

Kredit gambar: CNBC

Jumlah transaksi membabitkan jenayah ini merupakan peningkatan sebanyak 80 peratus berbanding tahun 2020. Biarpun begitu, jumlah RM58 bilion ini hanya mewakili 0.15 peratus berbanding keseluruhan transaksi.

Sehingga hari ini, mata wang kripto mata masih lagi tidak tertakluk kepada banyak peraturan. Tiada undang-undang yang jelas mengenainya dan memudahkan penjenayah berselindung disebalik kerahsiaan blockchain.

Peningkatan transaksi sebanyak lima kali ganda ini memberikan kegusaran kepada banyak pihak. Ini membawa kepada tuntutan oleh pengawal selia yang meminta lebih banyak kuasa ke atas sektor yang berkembang pesat.

Badan pemantau kewangan dan penggubal dasar dari seluruh dunia sudah lama membincangkan perkara ini. Penggunaan kripto untuk pengubahan wang haram hanya boleh diselesaikan dengan penggubalan undang-undang.

Bagaimanapun, dek kerana ia bersifat desentralisasi, adalah sukar untuk mana-mana kerajaan bagi menetapkan satu bentuk kawalan sekuriti. Pengiktirafan negara terhadap mata wang kripto juga adalah satu lagi langkah sukar.

Sebagai contoh, di Malaysia hanya wang yang dikeluarkan dan dikawal Akta Bank Negara Malaysia (BNM) 2009 dianggap sebagai diiktiraf. Seksyen 20 Akta BNM 1958 pula menyatakan bahawa hanya BNM boleh mengeluarkan mata wang di Malaysia.

Sebarang bentuk mata wang yang dikeluarkan pihak lain dianggap sebagai tidak sah.

Kecurian mata wang kripto

Kredit gambar: Reuters

Laporan Chainalysis juga menunjukkan bagaimana kecurian berlaku di platform kewangan DeFi. Platform ini dicipta bagi menawarkan pinjaman, insurans dan perkhidmatan kewangan lain.

Sepanjang tahun lalu, kecurian melibatkan mata wang kripto turut meningkat kepada lebih lima kali ganda. Dilaporkan sekitar RM13.48 bilion ($3.2 bilion) mata wang kripto telah dicuri sepanjang tahun 2020.

Kira-kira 72 peratus daripada jumlah tersebut telah dicuri daripada platform DeFi. Ini membawa kerugian berjumlah hampir RM9.26 bilion. Ramai pembangun di platform kewangan DeFi menyediakan peluang pelaburan palsu sebelum hilang dengan wang tunai pelabur.

Pada 23 Mac yang lalu, kira-kira RM2.5 bilion mata wang kripto lesap dicuri oleh penggodam. Ia merupakan kripto yang tersimpan di dalam lejar digital yang digunakan pemain permainan dalam talian popular, Axie Infinity. Jumlah rompakan dinilai sekitar RM2.297 bilion ($545 juta), namun dikatakan meningkat kepada RM2.592 bilion.

Sehingga hari ini, terdapat lebih 17,000 jenis aset kripto yang berbeza, termasuk Bitcoin dan Ether. Maka, sebarang kawalan pasaran terhadap kripto mungkin sukar untuk menjadi kenyataan.