Tak sampai 24 jam selepas Perdana Menteri memperkenalkan ‘Makcik Kiah’ semasa mengumumkan Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat, penyanyi Ayda Jebat sempat menjadi ‘Makcik Kiah’ pula dalam video muzik (MV) terbarunya.

Makcik Kiah merupakan analogi yang digunakan oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk mewakili faedah yang rakyat Malaysia dapat di bawah Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat selepas pendapatannya terjejas akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Makcik Kiah, merupakan penduduk Projek Perumahan Rakyat (PPR) Desa Tun Razak dan menjual pisang goreng sebagai punca pendapatan harian. Suaminya merupakan pesara kerajaan yang kini bekerja sebagai pemandu e-hailing dan anggota RELA secara sambilan.

Anak Makcik Kiah pula merupakan seorang peminjam PTPTN dan bujang.

Di bawah Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat, keluarga Makcik Kiah akan dapat Bayaran Prihatin Nasional sebanyak RM1,600, baki BSH sebanyak RM600, bantuan pesara sebanyak RM500, bantuan tunai e-hailing sebanyak RM500 dan bantuan orang bujang sebanyak RM800.

Kalau suami Makcik Kiah berkhidmat dengan RELA, dia akan dapat RM200 sebulan sehingga wabak berakhir. Keseluruhan pemberian tunai yang keluarga Makcik Kiah akan dapat ialah sekurang-kurangnya RM4,200.

Selain itu, keluarga Makcik Kiah juga akan dapat penjimatan sewa PPR selama 6 bulan sebanyak RM744, penjimatan penangguhan pinjaman kenderaan selama 6 bulan sebanyak RM1,800, penjimatan bayaran bil elektrik selama 6 bulan sebanyak RM120.

Anak Makcik Kiah juga akan dapat penjimatan daripada penangguhan bayaran balik PTPTN selama 6 bulan sebanyak RM1,200.

Kalau Makcik Kiah ada buat pinjaman kredit mikro untuk perniagaan goreng pisang dengan bayaran balik pinjaman sebanyak RM100 sebulan, Makcik Kiah akan dapat penjimatan sebanyak RM600.

Keseluruhan penjimatan ialah sebanyak RM4,464.

Jadi, keseluruhan nilai manfaat yang akan diterima oleh keluarga Makcik Kiah termasuk pemberian tunai dan penjimatan ialah sebanyak RM8,664.

“Jadi Makcik Kiah pun dah boleh tersenyum sikit dengar kiraan yang saya buat,” jelas Muhyiddin dalam ucapannya pada 27 Mac lepas.

Laju Ayda Jebat buat kerja

Kurang 24 jam selepas Makcik Kiah menjadi trending di media sosial, Ayda Jebat memperkenalkan MV terbarunya pula yang bertajuk Duduk Diam Diam.

Mesej MV ini adalah untuk menggalakkan orang ramai supaya duduk rumah semasa PKP dikuatkuasa.

MV Duduk Diam Diam ini memperkenalkan sebuah keluarga empat ahli – Sis Popo, Diva AJ, Tok Abah dan sudah tentulah Makcik Kiah – semuanya dilakonkan oleh Ayda.

Dalam MV tersebut, Makcik Kiah memakai apron, baju kurung dan serkup tudung serta memegang senduk.

Watak Diva AJ pula nampak seperti parodi persona Diva AA yang sinonim dengan Azwan Ali.

Tonton MV terbaru Duduk Diam Diam oleh Ayda Jebat dalam video di bawah:

Baca juga artikel kami yang lain mengenai artis Malaysia: