Pada 6 Disember 2019, sewaktu Covid-19 belum lagi menjadi pandemik yang menggegarkan dunia, Malaysia dikejutkan dengan penemuan satu kes polio. Seorang bayi lelaki berumur tiga bulan dari Tuaran, Sabah, disahkan telah dijangkiti dengan virus polio oleh Kementerian Kesihatan. Kes tersebut merupakan jangkitan virus polio yang pertama dilaporkan selepas 27 tahun Malaysia bebas daripada penyakit itu.

Bayi tersebut didapati mengalami demam diikuti lemah anggota badan dan dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi. Ujian pengesahan jangkitan polio dijalankan oleh Makmal Polio Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) di Australia. Makmal tersebut mendapati virus terbabit mempunyai kaitan dengan virus polio yang dikesan di Filipina.

Pada hari ini, Malaysia kembali diisytiharkan bebas dari wabak polio oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

Latar belakang wabak polio dan risiko jangkitan

Kredit gambar: https://sphweb.bumc.bu.edu/otlt/MPH-Modules/PH/Polio/Polio_NEW3.html

Polio adalah penyakit berjangkit disebabkan virus yang menyerang sistem saraf manusia dan boleh menyebabkan kelumpuhan kekal. Sekiranya kegagalan pernafasan berlaku, ia boleh membawa maut kepada manusia. Polio merupakan antara penyakit yang wajib dinotifikasikan di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988.

Sebelum ini, kes polio terakhir di Malaysia yang direkodkan oleh Kementerian Kesihatan adalah pada tahun 1992. Sejak Oktober 2000, Malaysia bersama-sama dengan negara-negara di Rantau Pasifik Barat telah diisytiharkan bebas daripada penyakit polio. 27 tahun kemudian, pada 6 Disember 2019 satu kes telah disahkan dijangkiti virus polio.

Virus polio masih boleh menjangkiti manusia kerana terdapat negara di dunia ini yang belum bebas dari penyakit polio. Penularan ini akan lebih mudah berlaku sekiranya kebersihan diri tidak dijaga dan persekitaran kotor. Satu-satunya jalan keluar adalah dengan mendapatkan vaksinasi lengkap.

Vaksin berjaya mencegah polio

Kredit gambar: https://www.bharian.com.my/kolumnis/2019/12/641217/pastikan-kes-polio-di-sabah-kegagalan-terakhir-kita

Penyakit ini hanya boleh dicegah melalui pemberian vaksin imunisasi. Vaksin polio diberikan kepada kanak-kanak di Malaysia sejak tahun 1972 lagi.

Jadual Imunisasi Kanak-Kanak Kebangsaan menggariskan sebanyak lima dos vaksin yang perlu diberikan. Lima vaksin tersebut merupakan kombinasi antigen polio, difteria, tetanus (kancing gigi), pertussis (batuk kokol) dan Haemophilus Influenzae. Vaksin-vaksin ini diberikan kepada kanak-kanak seawal usia dua, tiga, lima dan 18 bulan.

Vaksin ini diberi secara percuma untuk warganegara di semua fasiliti kesihatan kerajaan. Bagi bukan warganegara pula, mereka boleh mendapatkannya dengan caj minima. Program imunisasi tersebut berjaya membasmi kes polio di Malaysia dengan kes terakhir dikesan pada tahun 1992.

WHO isytihar wabak polio di Malaysia tamat

Kredit gambar: https://my.theasianparent.com/imunisasi-bayi

Wabak polio di Malaysia diisytiharkan kembali tamat secara rasmi pada 10 September 2021. Pengisytiharan ini dilakukan berdasarkan penilaian oleh pasukan penilai yang terdiri daripada panel pakar antarabangsa. Menerusi penilaian tersebut, kawalan dan pencegahan wabak polio yang dijalankan di Malaysia diiktiraf sebagai berjaya.

Kementerian Kesihatan akan terus memastikan liputan tinggi imunisasi polio bagi mengekalkan imuniti kelompok terhadap jangkitannya. Ujian ‘Acute Flaccid Paralysis’ (AFP) pula akan terus dilaksanakan supaya sebarang kes polio dapat dikesan dengan lebih pantas.

Pada penghujung tahun 2020, vaksin untuk kanak-kanak akan ditambah kepada enam suntikan dengan tambahan antigen untuk penyakit Hepatitis B.