Semalam, kita dikejutkan dengan berita sebatang pokok yang menjadi ikon pelancongan Melaka di hadapan Bangunan Merah Stadthuys di Bandar Hilir, tumbang dalam kejadian angin kencang.

Ayuh kita soroti beberapa pokok-pokok ikonik yang ada di dalam negara kita.

1. Pokok Batai Laut, Bangunan Stadthuys, Melaka.

Kredit gambar: https://www.melakahariini.my/pokok-ikonik-127-tahun-rebah-di-bumi-bersejarah/

Pokok Batai Laut ataupun nama saintifiknya Peltophorum Pterocarpum itu dipercayai berusia lebih 120 tahun. Pokok tersebut dikatakan telah ditanam sewaktu zaman pemerintahan British di Melaka pada tahun 1894.

Dengan berketinggian 18 meter dan berdiameter hampir 1.5 meter, pokok ini amat sinonim dengan Bangunan Stadthuys di Bandar Hilir, Melaka dan seringkali menjadi tumpuan lensa kamera pelancong.

Sebagai sebuah bandaraya yang kaya dengan sejarah, Melaka memiliki lebih 300 batang pokok di beberapa jajaran jalan yang berusia lebih dari 100 tahun.

2. Pokok Ipoh, Stesen Keretapi Tanah Melayu Berhad, Ipoh, Perak.

Kredit gambar: https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2018/02/315108/tanam-semula-ikon-bandaraya-ipoh-metrotv

Nama Bandaraya Ipoh sebenarnya berasal daripada nama sepohon pokok yang mengeluarkan getah beracun. Getah beracun dari pokok itu mempunyai banyak kegunaan, antaranya digunakan secara meluas oleh masyarakat orang asli untuk memburu binatang.

Nama saintifiknya adalah Antiaris Toxicaria dan pokok ini lebih dikenali dengan nama Upas di beberapa tempat di Filipina dan di Kepulauan Jawa.

Pada 28 April 2017, ribut yang disertai hujan lebat selama kira-kira satu jam di beberapa lokasi di bandaraya ini telah menumbangkan pokok Ipoh yang terletak di Dataran Stesen Keretapi Tanah Melayu (KTM). Pokok ini yang sejak sekian lama menjadi ikon bandaraya ini, telah ditanam oleh mantan Menteri Besar Perak yang ke-7 pada Januari 1980.

Pada tarikh 21 Febuari 2018, anak pokok Ipoh telah ditanam semula di lokasi yang sama dengan pokok Ipoh yang asal ditanam pada 18 Januari 1980 dahulu iaitu di Dataran Stesen Keretapi Tanah Melayu Berhad Ipoh. Penanaman semula pokok Ipoh tersebut telah disempurnakan oleh Menteri Besar Perak yang ke-11 iaitu Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir.

Penanaman semula pokok Ipoh ini amat penting kerana ia punyai nilai sejarah kepada negeri Perak dan menjadi lambang unik kepada bandaraya Ipoh.

3. Pokok ‘Tree Of Life’, Universiti Putra Malaysia, Serdang.

Kredit gambar: https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/2019/01/08/pokok-legend-upm-tumbang/

Pokok telinga gajah atau nama saintifiknya Enterolobium Cyclucarpum ini sangat terkenal baik kepada pelajar dan mantan pelajar serta penggemar filem tempatan kerana seringkali digunakan sebagai set penggambaran untuk beberapa filem, iklan komersil dan muzik video terkenal.

Berusia hampir 40 tahun, pokok ini tumbang akibat serangan kulat yang menyebabkan penyakit akar putih.

Pokok ini sangat terkenal kerana kerap kali menjadi latar kepada penggambaran filem seperti Lagenda Budak Setan, muzik video Awie serta puluhan iklan yang lain. Kemuncaknya, pokok ini pernah dipaparkan pada Airbus A320 milik AirAsia sebagai imej korporat dan jenama kepada UPM.

Pelbagai rawatan telah cuba dilaksanakan oleh pakar-pakar botani dari universiti ini, namun rawatan tanah dan pertumbuhan daun yang baru gagal mengimbangi serangan kulat yang dihidapi oleh pokok ini.

Sumber: