Seorang doktor dari Pusat Perubatan Universiti Islam Antarabangsa (UIA) memohon pertolongan jurutera mekanikal tempatan untuk membantu mereka mencipta alat pelindung intubasi.

Alat pelindung intubasi tersebut digunakan oleh doktor untuk memasukkan tiub ke tubuh pesakit wabak berjangkit seperti COVID-19 untuk tujuan mendiagnosis atau rawatan.

Dr. Nur Fariza Ramly, seorang doktor yang bertanggungjawab merawat pesakit COVID-19 di Pusat Perubatan UIA itu menulis di laman Facebooknya:

“Fikir-fikir idea untuk buat alat [yang] protect kami masa nak intubate COVID patient. Kot-kot ada engineer yang takde keje tu boleh tolong.”

Menurut Dr. Fariza, alat pelindung intubasi tersebut mestilah menepati ciri-ciri berikut:

1. Mempunyai kerangka yang fleksibel bagi memudahkan pergerakan tangan doktor.

2. Menggunakan plastik lutsinar bagi membolehkan doktor melihat pesakit.

3. Mampu mengedapkan udara pesakit supaya titisan cecair dari pesakit (air liur, titisan batuk dsb) tidak dapat keluar.

4. Boleh dilekat terus dengan katil pesakit sedia ada.

5. Boleh digunakan secara pakai buang untuk rawatan pesakit wabak berjangkit.

Ilustrasi kasar yang dibuat oleh Dr. Fariza Ramly untuk rekaan alat pelindung intubasi (Foto: Dr. Fariza Ramly)

Ilham Dr. Fariza ketika melukis ilustrasi rekaan alat pelindung intubasi ini datangnya dari pengalaman beliau sendiri yang sukar mengintubasi pesakit COVID-19 tanpa peralatan yang betul.

Isopod mahal

Ketika ini doktor seluruh dunia menggunakan isopod seperti dalam gambar di bawah untuk prosedur intubasi pesakit COVID-19.

Isopod yang digunakan di hospital Malaysia ini diimport dari China. (Foto: Mayzatul Azwan)

Meskipun isopod ini diimport dari China, ia masih terlalu mahal untuk diletakkan secara mencukupi di semua hospital dan pusat perubatan di Malaysia. Kos isopod dari China ini dianggarkan berharga lebih kurang RM30,000.

Oleh itu Dr. Fariza membayangkan jika ada jurutera mekanikal yang boleh tampil membantu doktor di Malaysia untuk mencipta alternatif isopod yang jauh lebih murah.

Ini supaya semua doktor hospital di Malaysia dapat menggunakan alat pelindung tersebut ketika mengintubasi pesakit wabak berjangkit.

Beliau membayangkan alternatif tersebut mempunyai bentuk sama seperti kelambu bayi – cuma permukaannya dibalut menggunakan plastik dan mempunyai keupayaan kedap udara.

Ilham ilustrasi Dr. Fariza tentang alat pelindung intubasi datangnya dari kelambu bayi.

Alternatif murah sedia ada: kotak aerosol

Satu lagi alternatif yang lebih murah dari isopod adalah kotak aerosol seperti dalam gambar di bawah:

Kotak aerosol ini merupakan hasil inovasi baru yang diilhamkan konsep dan rekaannya oleh doktor Taiwan, Lai Hsien-yung.

Kotak aerosol ini direka oleh Dr. Lai Hsien-yung yang bekerja di Mennonite Christian Hospital, Taiwan. Ia merupakan kotak yang diperbuat daripada acrylic lutsinar untuk melindungi kepala pesakit semasa prosedur ‘endotracheal intubation‘.

Endotracheal intubation merupakan prosedur yang penting untuk pesakit COVID-19 yang mengalami kesukaran pernafasan.

Ia mengandungi dua lubang di setiap sisi. Lubang ini membolehkan doktor memasukkan tangan mereka untuk melakukan prosedur sambil dilindungi daripada titisan cecair dari pesakit.

Dr. Lai Hsien-yung berkongsi rekaannya di Facebook dan memberi izin menggunakan rekaannya untuk kegunaan bukan komersial.

Aerosol box ini sedang digunakan secara meluas di Taiwan dan Filipina ketika ini. Tetapi semuanya dibuat oleh doktor sendiri dengan bantuan kedai tukang. Kos pembuatannya dianggarkan berharga sekitar RM140.

Mohon jurutera mekanikal tempatan buat aerosol box untuk doktor

Dr. Fariza memohon bantuan jurutera mekanikal tempatan atas tiga sebab:

  1. Kos isopod yang mahal membuatkan tak banyak hospital mempunyai peralatan tersebut
  2. Konsep rekaan alat pelindung intubasinya masih di peringkat idea dan memerlukan bantuan jurutera untuk diperhalusi.
  3. Kotak aerosol, alternatif alat pelindung intubasi yang jauh lebih murah dari isopod, masih belum dijual secara meluas oleh sesiapa.

Oleh itu beliau memohon supaya jurutera mekanikal dapat membantu beliau dan doktor barisan depan lain untuk merealisasikan konsep rekaan alat pelindung intubasinya ATAU membuat kotak aerosol secara meluas.

Dr. Fariza turut memberi dimensi rekaan aerosol box untuk rujukan jurutera mekanikal yang mahu tampil membantu:

Menurut Dr. Fariza, dimensi ini MESTI TEPAT kerana jika tidak, doktor akan menghadapi masalah memanipulasi aryngoscope dan tiub endotracheal.

“Ada dimensi rekaan yang tidak mempunyai ketinggian yang betul. Kadang-kadang ada lubang tangan yang terlalu tinggi – membuatkanya susah untuk digunakan oleh doktor.

“Saya mencadangkan anda untuk menonton video intubation/extubation untuk mendapat idea bagaimana prosedur yang kami buat dalam kotak tersebut.

“Ideanya dalah untuk mengelak titisan cecair dari mulut pesakit merenjis ke doktor semasa prosedur. Prosedur ini melibatkan pengewapan (aerosolization) titisan cecair mulut pesakit, di mana doktor perlu berada sangat dekat dengan mulut pesakit.

“Seboleh-bolehnya bahan yang digunakan perlulah lutsinar, kalis air, mudah digerakkan, boleh diguna semula dan dibersih semula.

“Terima kasih semua atas usaha anda. Sila bantu kami yang berada di barisan depan krisis ini.”

Baca juga artikel kami yang lain mengenai impak wabak COVID-19 kepada kesihatan: