Hospital Kanser Valentis di Uttar Pradesh, India mencetus kontroversi apabila mengiklankan polisi terbaru mereka yang ‘tidak lagi menerima pesakit Muslim dari kawasan majoriti Muslim susulan wabak COVID-19’.

Iklan tersebut diterbitkan di sebuah akhbar harian tempatan.

Susulan penerbitan iklan tersebut, pihak polis Uttar Pradesh mengumumkan akan memulakan siasatan berhubung perkara tersebut.

Iklan yang diletakkan oleh Hospital Kanser Valentis dalam akhbar Dainik Jagran pada hari Jumaat, 17 April 2020 lepas. (Foto: The Wire India)

Hospital Kanser Valentis merupakan kemudahan perubatan yang menempatkan pesakit kanser. Keputusan hospital tersebut untuk tidak melayan pesakit Muslim merupakan tamparan besar terhadap kaum minoriti Muslim di wilayah yang didominasi penduduk beragama Hindu itu.

Apa yang lebih mengejutkan, polisi hospital tersebut turut menyimpang dari hak asasi rakyat India di bawah Perlembagaan. Keengganan hospital tersebut untuk mematuhi Perlembagaan boleh menyebabkan mereka dihukum.

Berdasarkan Piagam Hak Asasi Manusia Kebangsaan yang digunapakai sebagai asas dasar Kementerian Kesihatan India, tiada pesakit boleh dinafikan hak untuk mendapat rawatan tanpa mengira agama atau penyakit mereka.

Piagam tersebut menetapkan:

“Setiap pesakit berhak untuk mendapatkan rawatan tanpa sebarang diskriminasi penyakit, termasuk status HIV atau penyakit lain, agama, kasta, etnik, jantina, umur, orientasi seksual, bahasa atau asal tempatnya.

“Setiap hospital mempunyai tugas untuk memastikan tiada sebarang diskriminasi berlaku melibatkan sesiapa pun di bawah jagaan hospital. Pengurusan hospital mesti mengarahkan semua staf dan doktornya untuk mematuhi piagam ini.”

Dalam iklan tersebut, Hospital Kanser Valentis merujuk kepada acara jemaah tabligh yang diadakan di Masjid Markaz Nizamuddin pada bulan lepas sebagai titik tolak punca mereka memboikot pesakit Muslim.

Menurut pengurusan hospital tersebut, terdapat beberapa pesakit Muslim dari jemaah tabligh tersebut yang tidak memberi kerjasama dan bersikap biadap terhadap staf mereka.

Iklan tersebut turut berkata pesakit Muslim yang mahu berubat di hospital itu perlu membawa sijil yang mengesahkan mereka negatif penyakit COVID-19.

Dalam hal kecemasan, bantuan perubatan akan diberikan dengan syarat ‘pesakit dan waris menjalani ujian penskrinan COVID-19 dan membayar kos ujian tersebut yang berharga Rs4,500 (RM258) setiap satu’.

Hospitak Kanser Valentis bagaimanapun memberi dua pengecualian kepada dua golongan Muslim: Pertama, golongan profesional Muslim seperti doktor, peguam dan polis.

Kedua, golongan Muslim yang hidup di kawasan yang majoritinya didiami penduduk Hindu.

Baca juga artikel kami yang lain mengenai India: