Seorang lelaki di India yang diserang ular berbisa bertindak menggigit pergelangan tangan isterinya – supaya mereka dapat mati bersama.

Shankar Rai sedang tidur di rumahnya di wilayah Samastipur, 60 batu utara Patna di negeri Bihar, ketika beliau diserang dan digigit oleh ular berbisa.

Menjelang pagi, keadaannya bertambah kritikal. Menyedari beliau tidak mempunyai masa, Shankar memegang tangan isterinya, Amiri Devi dan menyatakan hajatnya untuk mati bersama-sama.

Shankar kemudiannya menggigit pergelangan tangan Amiri sehingga berdarah – dengan kepercayaan bisa ular dalam tubuhnya akan membawa isterinya ‘pergi’ ke alam barzakh bersama-samanya.

Kedua-dua pasangan suami dan isteri itu dikejarkan ke hospital susulan insiden tersebut. Bisa ular tedung itu meragut nyawa Shankar. Tetapi Amiri berjaya diselamatkan doktor.

Doktor yang merawat Amiri memberitahu, “Perempuan tersebut dapat diselamatkan kerana beliau masuk hospital tepat pada masanya. Beliau pengsan selepas digigit kerana kejutan akibat kesakitan yang teramat sangat. Beliau selamat buat masa sekarang.”

Ketika ditemuramah India Today, Amiri memberitahu beliau mengizinkan suaminya menggigit tangannya. “Dia beritahu saya yang dia sayangkan saya dan mahu mati bersama-sama. Saya benarkan dia gigit tangan saya,” terangnya.

World Health Organization (WHO) menganggarkan hampir 75% serangan ular berbisa yang membawa maut berlaku di kawasan Asia Selatan.

Kementerian Kesihatan India melaporkan pada 2018, terdapat kira-kira 1,000 kematian melibatkan serangan ular berbisa berlaku sepanjang 2017 di India. 90% kes dilakukan oleh empat spesies ular utama: ular katang (common krait), ular senduk (Indian cobra), ular kapak Russell (Russell’s viper) dan ular kapak sisik (saw-scaled viper).

70% hingga 80% kes kematian pula berlaku kerana mangsa gagal mendapatkan rawatan di hospital tepat pada masanya.