Usaha seorang guru dari Sistem Pengujian Bahasa Inggeris Antarabangsa (IELTS) yang mengajar subjek English menggunakan bahasa pengantar Bahasa Melayu di YouTube mendapat sokongan menggalakkan dari netizen.
Wanita tersebut yang dikenali sebagai Rachael itu mula memuat naik video pertamanya di saluran YouTube ‘Cikgu Rachael’ sejak 17 Mei lepas.
Beliau yang menetap di Iskandar Puteri, Johor itu berkata saluran YouTube itu dicipta kerana keinginannya melihat lebih ramai rakyat Malaysia menguasai bahasa Inggeris.
“Saya tidak kisah tak dapat pulangan wang, yang penting saya puas dan gembira dapat menyumbang dan berkongsi ilmu kepada orang lain.
“Misi saya cuma mahu lebih ramai rakyat Malaysia dapat menguasai bahasa Inggeris,” kata Rachael, 56.
Beliau yang mengajar Bahasa Inggeris di IELTS Johor Bahru berkata saluran itu tercetus kerana ‘kegatalannya’ untuk mengajar.
“Saya minat mengajar, tetapi sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) saya tidak dapat keluar mengajar seperti biasa.
“Ia membuatkan saya tidak betah duduk rumah tanpa melakukan rutin mengajar sebelum anak mencadangkan saya membuat kelas percuma ini dalam YouTube,” katanya kepada Harian Metro.
Menurutnya, idea mengajar English dalam bahasa Melayu timbul selepas dia menyedari ada kekangan penggunaan tatabahasa dalam kalangan orang ramai terutama mereka yang mempunyai asas lemah.
Katanya, apabila dia menanda kertas peperiksaan pelajar, didapati kebanyakan mereka mempunyai masalah penggunaan tatabahasa terutama dalam membina ayat.
“Jadi saya rasa kalau dapat ajar English menggunakan bahasa kebangsaan, semua akan mudah faham kerana kebanyakan rakyat Malaysia pelbagai bangsa tahu bertutur dalam bahasa Melayu.
“Nampaknya teknik ini memang berkesan apabila saya menerima maklum balas dan ramai mengikuti kelas saya lebih memahami dan menguasai bahasa Inggeris dengan baik,” katanya sambil menjelaskan saluran Cikgu Rachael meraih kira-kira 19,000 pengikut yang melanggan platform itu.
Rachael berkata, dia akan memuat naik kandungan pembelajaran berlainan di saluran YouTube miliknya setiap empat hari sekali berdasarkan topik pilihan orang ramai.
Katanya, selalunya dia akan menyediakan kandungan topik pembelajaran dalam tempoh 10 hingga 12 minit, tetapi apabila terdapat permintaan pelajar mahukan tempoh lebih lama, dia tambah kepada 18 minit.
“Cabaran paling utama dalam menyediakan kandungan bahan mengajar apabila saya perlu berulang kali membuat semakan, kajian dan membaca banyak bahan rujukan termasuk kamus bagi mencari dan memastikan penggunaan perkataan bahasa Melayu tidak lari maksud dengan bahasa Inggeris.
“Untuk merekod pula, saya hanya menggunakan rakaman video telefon bimbit yang dipacak menggunakan tripod sebelum melalui proses suntingan dengan bantuan anak,” katanya.