Budaya dapat difahami sebagai amalan gaya hidup yang diamalkan oleh masyarakat. Ini termasuklah budaya balik kampung yang berlaku di seluruh dunia semasa musim perayaan.

Proses urbanisasi iaitu banyaknya kawasan bandar dibangunkan menyebabkan orang muda berhijrah ke bandar untuk mencari pekerjaan. Golongan ini akan menetap dan membina keluarga mereka di kawasan bandar yang pesat membangun.

Penghijrahan akibat urbanisasi inilah memulakan budaya pulang ke desa atau kampung apabila tibanya hari raya. Perubahan demografi dan proses modenisasi bagaimanapun tidak banyak merubah cara hari raya disambut.

Itulah sebabnya ibu kota Kuala Lumpur dan bandar-bandar utama di Selangor lengang sewaktu sambutan Aidilfitri. Sebanyak 4.7 juta kenderaan dijangka berada di atas jalan raya di seluruh negara sempena Hari Raya Aidilfitri.

Secara asasnya, warga Asia dikenali sebagai sangat mementingkan persaudaraan dan menekankan kepentingan hubungan darah daging. Ia kerap diterjemahkan dengan kaum keluarga dan kerabat yang besar serta saling mengenali dengan budaya kunjung-mengunjung. 

Oleh kerana itu, budaya yang sama turut berlaku di Indonesia dan Bangladesh.

Balik kampung di Indonesia

Kredit gambar: TAP

Pihak berkuasa di Indonesia terpaksa bersedia bagi pergerakan lebih 85 juta penduduknya pulang ke kampung. Kepulangan mereka di serata negara itu menjelang Aidilfitri ini digelar sebagai ‘mudik lebaran’.

Kajian kerajaan menunjukkan kebanyakan yang terbabit dengan pergerakan besar-besaran dari bandar raya Jakarta. Indonesia merupakan negara dengan 231 juta penganut yang beragama Islam. Ia merupakan negara yang paling ramai penduduk yang beragama Islam di dunia.

Umat Islam dijangka pulang dengan menggunakan pengangkutan udara, darat dan laut bermula minggu keempat bulan ini. Mudik ini merupakan balik kampung sempena hari raya yang pertama sejak pandemik.

Kes harian Covid-19 juga menurun dengan mendadak selepas penularan varian Omicron. Sebelum ini, Indonesia berhadapan dengan lebih 55,000 kes sehari. Setakat minggu pertama Ramadan ini, hanya sekitar 3,000 kes direkodkan.

Balik kampung di Bangladesh

Kredit gambar: NatGoe

Agama Islam merupakan agama rasmi bagi Republik Bangladesh. Populasi negara tersebut mengikut konsensus pada tahun 2011 ialah 149.7 juta.

Seramai 135.4 juta, iaitu 90.4 peratus daripada jumlah itu beragama Islam.
Bangladesh merupakan negara ketiga dengan penduduk Islam tertinggi selepas Indonesia dan Pakistan.

Sama seperti negara dunia ketiga seperti Malaysia dan Indonesia, Bangladesh berhadapan dengan krisis urbanisasi yang serius. Dhaka kini dihuni oleh 22.4 juta penduduk, peningkatan 3.39 peratus berbanding tahun lalu.

Majoriti mereka yang bekerja Dhaka mahu memastikan mereka dapat pulang ke kampung halaman pada musim perayaan. Lebih-lebih lagi sewaktu perayaan Aidilfitri dan Aidiladha. Kepulangan mereka amat dinantikan kerana majoriti hanya pulang sewaktu kedua-dua perayaan ini sahaja.

Oleh kerana faktor jarak dan kewangan, medium pengangkutan yang popular adalah pengangkutan awam. Imej bersesak-sesak menaiki bumbung kereta api seakan-akan biasa dan sinonim dengan penduduk Dhaka.