Malang buat 15 wanita di Sungai Petani, Kedah apabila mereka ditahan ketika sedang berhimpun untuk melakukan aktiviti Zumba tanpa sebab munasabah pada Sabtu walaupun Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) masih lagi berkuatkuasa di seluruh negara.

Asisten Komisioner Adzli Abu Shah selaku Ketua Polis Daerah Kuala Muda berkata mereka melakukan aktiviti tersebut ketika pihak polis membuat rondaan di kawasan premis di Taman Pekan Rabu sekitar jam 6.30 petang.

Pemeriksaan ke atas sebuah premis di situ mendapati 15 wanita yang berusia di antara 25 hingga 50 tahun itu telah melakukan aktiviti zumba tanpa mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang dikeluarkan oleh kerajaan.

Kesemua mereka dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Muda dan dikenakan kompaun berjumlah RM1,000 setiap seorang selepas gagal memberikan penjelasan munasabah untuk menyertai aktiviti sosial itu ketika PKPB masih lagi dilaksanakan.

Kesalahan disiasat di bawah Peraturan 7(1) Peraturan-Peraturan Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020.

Baca juga artikel lain yang mungkin menarik buat anda

Sumber: