Sejak zaman dahulu lagi, bahan pewarna semulajadi yang berasal daripada tumbuhan telahpun digunakan di dalam makanan. Ia bagi menaikkan seri makanan tersebut agar lebih dilihat berselera untuk dimakan.

Ia bukan sahaja diamalkan di luar negara, malah turut digunakan oleh nenek moyang kita. Antara pilihan pewarna semulajadi yang paling dikenali termasuklah kunyit, buah naga, daun pandan dan bunga telang.

Seperti yang diketahui, tumbuhan ini kaya dengan khasiat seperti vitamin dan mineral. Maka, selain berfungsi sebagai menaikkan seri dan rupa makanan tersebut, ia mampu menambahkan khasiat makanan.

Namun begitu, akhir-akhir ini muncul pelbagai jenis pewarna tiruan yang dijual di dalam pasaran secara terbuka. Pewarna tiruan juga digunakan oleh peniaga dek kerana harganya yang sangat murah dan lebih mudah untuk diaplikasi.

Berbanding pewarna semulajadi, rona warna yang terhasil oleh pewarna tiruan ini lebih terang dan mengiurkan. Namun begitu, terdapat kesan sampingan dan alahan yang perlu diketahui dengan pengambilan bahan ini.

Latar belakang pewarna tiruan

Kredit gambar: Better Equipped

Makanan telah dicampur dengan pewarna tiruan sejak berzaman lagi. Namun begitu, antara pewarna yang terawal dicipta adalah pada tahun 1856 dengan menggunakan tar batu arang.

Berbeza pada hari ini, teknologi mampu menghasilkan pewarna makanan tiruan dari petroleum. Berbanding dengan ciptaan semulajadi, pewarna tiruan ini mampu memberikan warna yang lebih terang.

Tujuan utama penggunaan pewarna makanan ini adalah untuk meningkatkan kualiti rupa makanan semata-mata. Selain itu juga, ia menarik membuatkan seseorang tertarik dan menginginkan makanan itu terutamanya kanak-kanak.

Golongan ini mudah tertarik dengan warna terang. Oleh itu, pewarna tiruan ini seringkali digunakan untuk menarik perhatian mereka.

Risiko kanser dan ADHD

Kredit gambar: NPR

Terdapat pewarna makanan tiruan yang disenaraikan dalam kategori dibenarkan penggunaannya oleh United States Food and Drug Administration (FDA). Di negara kita, pewarna tiruan ini dikawalselia oleh KKM di bawah Peraturan-Peraturan Makanan 1985.

Pewarna tiruan biasanya dikaitkan dengan beberapa masalah kesihatan. Antaranya, tindak balas alergi terhadap beberapa jenis pewarna seperti Patent Blue V (Sulphan Blue), Yellow 5 (Tartrazine), dan Yellow 6 (Sunset Yellow).

Ia boleh membawa kepada balas alergi yang ringan seperti ruam dan radang hidung (rhinitis). Namun begitu, terdapat juga gejala yang boleh mengancam nyawa seperti tindak balas anafilaksis.

Selain itu juga, ada kajian yang menyimpulkan bahawa pewarna makanan tiruan boleh menyebabkan DNA dan protien di dalam sel menjadi tersimpul. Ia mampu mengakibatkan masalah kesihatan yang membawa kepada kanser usus. Beberapa jenis pewarna yang lain pula didapati meningkatkan risiko kanser seperti kanser otak dan tiroid dalam kajian terhadap model haiwan.

ADHD (Attention Deficit Hyperactivity Disorder) merupakan satu masalah perkembangan neurologi yang berlaku dalam kalangan kanak-kanak. Banyak kajian yang telah dijalankan bagi membuktikan ia masalah yang berkait rapat dengan pengambilan pewarna makanan tiruan yang berlebihan.