Gerard Pique berkata perubahan besar perlu dilakukan di Barcelona berikutan kekalahan memalukan 8-2 kepada Bayern Munich dalam perlawanan suku akhir UEFA Champions League 2019/2020 awal pagi tadi.

Pertahanan berusia 33 tahun itu, yang telah merangkul 20 trofi sepanjang 12 tahun di Barcelona, turut menambah beliau akan ‘menjadi orang pertama yang keluar’ jika kelabnya mahu.

Kekalahan memalukan awal pagi tadi merupakan kekalahan paling teruk Barcelona dalam kempen Eropah. Ia juga menutup tirai musim teruk buat kelab Catalonia itu yang menyerahkan gelaran juara La Liga kepada musuh tradisi Real Madrid.

Kali terakhir Barcelona kalah dengan jaringan minimum enam gol adalah pada April 1951, apabila mereka kalah kepada Espanyol dalam aksi La Liga.

“Inilah tahap paling teruk bagi kami. Ini bukan kali pertama, mahupun kali kedua dan ketiga. Kami tak berada dalam jalan betul ketika ini,” kata Pique.

“Jurulatih dan pemain datang dan pergi. Tapi kami dah bertahun-tahun gagal menjadi kompetitif di peringkat Eropah.

“Kelab kami perlu berfikir secara mendalam dan buat keputusan untuk kebaikan kelab, untuk Barca. Persembahan malam ini langsung tak boleh diterima untuk Barcelona.

“Ia [keputusan] sukar untuk diterima tapi saya harap ianya akan membawa kebaikan, untuk kami semua fikirkan.

“Tak dinafikan kelab kami perlukan perubahan. Saya tak cakap perubahan dari segi pemain atau jurulatih. Tapi secara stukturnya, kelab kena berubah dalam semua aspek.

“Kami kena bawa idea baru untuk ubah dinamik sekarang. Kalau perlu, saya akan jadi orang pertama keluar kelab kalau kelab mahu. Asalkan kelab menjadi maju.”

Bercakap mengenai keinginannya melihat Barcelona mengubah struktur kelab, Pique barangkali merujuk kepada pilihanraya presiden pada musim panas 2021 akan datang. Pemilihan itu bakal memilih pengganti presiden sekarang, Josep Maria Bartomeu.

Embed from Getty Images

Ketua jurulatih Barcelona Quique Setien sudah pun berada dalam tekanan – walau sebelum kekalahan 8-2 ini pun – berikutan tujuh bulan yang mengecewakan selepas menggantikan Ernesto Valverde pada Januari lepas.

Ketika ditanya mengenai komen Pique, Setien tenang menjawab: “Saya takkan komen tentang apa yang kelab perlukan. Saya baru berada di sini selama beberapa bulan.”

“Kalau Gerard kata kelab ini perlukan perubahan besar, ia bermakna kata-katanya ada betulnya. Ini masa kami untuk menganalisa dan membuat keputusan untuk masa depan.

Ketika ditanya mengenai masa depannya bersama Barca, Setien menjawab: “Saya rasa masih lagi terlalu awal untuk cerita tentang masa depan saya. Realitinya keputusan tersebut tak terletak dalam tangan saya.

“Apa yang penting sekarang adalah kenalpasti kerja-kerja yang lebih penting dan bermuhasabah tentang kekalahan ini.”

Wartawan Fabrizio Romano melaporkan Setien telah pun dipecat selepas kekalahan awal pagi tadi.

Sumber: