Selain daripada pemberian vaksin, ujian kendiri Covid-19 juga membantu mengesan dan mengurangkan penyebaran virus tersebut. Sebelum ini, pesakit terpaksa menunggu untuk membuat ujian RT-PCR yang memakan masa dengan kos yang tinggi.

Namun, penciptaan kit ujian kendiri dengan harga mampu milik mengubah segalanya. Ia pernah terjual pada harga RM39.90 kerana kos import dan kurangnya produk ini di pasaran. Pada hari ini, ia terjual serendah RM6.50 di Pasaraya 99 Speedmart dan juga KK Mart.

Harga rendah ini dibantu oleh lambakan produk yang mendapat kelulusan FDA dan MDA di pasaran. Selain itu juga, ia dihasilkan oleh kilang-kilang dan syarikat tempatan yang memungkinkan harganya menjadi lebih berpatutuan.

Tanpa penciptaan kit ujian kendiri ini, mungkin kita masih terpaksa bergantung kepada fasiliti kesihatan untuk ujian RT-PCR. Ini kisah syarikat Korea pertama yang mencipta kit ujian Covid-19, sewaktu ia belum lagi menjadi kegunaan standard seperti yang dilihat pada hari ini.

Bersedia jauh lebih awal

Kredit gambar: CNN

Sebelum berlakunya kes pertama yang dikenalpasti di Korea Selatan, syarikat Seegene telahpun bersiap sedia. Sebagai firma bioteknologi terulung di Korea, Seegene mengambil tanggungjawab untuk mencipta kit ujian kendiri bagi mengenalpasti kehadiran virus ini.

Seawal 16 Januari, Ketua Pegawai Eksekutif dan pengasasnya Chun Jong-yoon telah mengubah fokus syarikat Seegene kepada virus baharu ini. Pada waktu itu, virus tersebut belum lagi dinamakan sebagai Covid-19. Malah, Seegene bersedia empat hari lebih awal sebelum kes pertama Covid-19 menjejaki Korea Selatan.

Dua bulan kemudian, Korea Selatan dianggap sebagai negara paling terjejas. Pada waktu itu, sebanyak 7,800 pesakit dijangkiti dengan wabak ini. Manakala 60 kematian direkodkan berpunca daripada komplikasi akibat Covid-19.

Wabak ini mampu dicegah dengan baik sekiranya pengasingan dibuat di peringkat awal. Maka, ujian secara besar-besaran sangat diperlukan untuk membantu pengesanan ini. Apa yang membezakan Korea Selatan dengan negara lain pada ketika itu adalah kejayaan Seegene membantu ujian secara besar-besaran.

Dicipta dalam masa tiga minggu

Kredit gambar: Seegene

Dianggap sebagai senjata rahsia bagi memerangi Covid-19, Seegene bergantung sepenuhnya kepada teknologi kecerdasan buatan. Menurut syarikat tersebut, tanpa bantuan data raya yang tersedia, ia mungkin mengambil masa beberapa bulan.

Pada 24 Januari, saintis mula memesan bahan yang diperlukan untuk menghasilkan kit ujian tersebut. Empat hari kemudian, mereka menerima bahan-bahan tersebut dan mula bekerja untuk menyiapkan kit ujian itu. Pada 5 Februari, kit ujian pertama sedia untuk melalui ujikaji.

Halangan seterusnya adalah untuk mendapatkan kelulusan dari Centers for Disease Control & Prevention (KCDC) Korea Selatan. Pada 12 Februari, Seegene telahpun menerima kelulusan yang diperlukan dari KCDC. Menurut Lee Dae-hoon, ketua saintis mereka, itu merupakan kelulusan terpantas yang pernah dikeluarkan oleh KCDC.

Saintis terpaksa bekerja sebagai pembungkus kit

Kredit gambar: Financial Times

Bagi sebuah syarikat yang tidak mengendalikan pengeluaran dengan begitu banyak dalam masa yang singkat, Seegene terpaksa berubah dengan drastik. Kesemua 395 pekerja mereka bekerja hanya untuk menghasilkan kit ujian Covid-19.

Pengeluaran 50 produk lain mereka terpaksa dihentikan. Seegene bekerja di dalam mod kecemasan, sehinggakan saintis mereka dengan kelulusan PhD juga bekerja sebagai pembungkus kit ujian.

Kerana persediaan awal Seegene, Korea Selatan dapat menghasilkan kit ujian mereka dengan lebih pantas. Ketika negara-negara lain masih tercari-cari bekalan kit ujian, Korea Selatan mampu memberikan akses percuma untuk ujian ini buat rakyatnya. Kecekapan Seegene ini menyebabkan negara tersebut mampu menyediakan hampir 118 pusat ujian bagi mengesan Covid-19.

Manakala kit ujian Seegene pula terjual ke seluruh pelusuk dunia, dengan 30 negara memesan dan membeli kit ujian mereka. Kerana ketersediaannya, negara-negara Eropah seperti Itali dan Jerman juga bergantung kepada kit ujian Seegene yang dinamakan sebagai nCov-Assay.