Akibat kenyataan beberapa jemaah menteri di Indonesia yang mengulas isu COVID-19 secara tidak tepat telah menyebabkan rakyat di negara itu tidak memandang serius wabak berbahaya tersebut.

Ini dibuktikan melalui kajian yang dilakukan oleh Lembaga Survei KedaiKOPI terhadap 483 orang responden pada awal Mac lepas.

Sejumlah 47.9% responden percaya bahawa mereka memiliki kekebalan dalam mendepani penularan wabak COVID-19.

responden-rakyat-indonesia-kebal
Sejumlah 47.9 peratus responden rakyat Indonesia percaya bahawa mereka memiliki kekebalan dalam mendepani wabak COVID-19.

“Hasil kajian ini mungkin berpunca daripada tindakan kerajaan yang masih sederhana berkenaan koronavirus dari awal Januari hingga Februari lalu.”

“Malah, beberapa menteri mengatakan bahawa kita kebal dan ada juga yang menyatakan cuaca panas di Indonesia tidak menyebabkan COVID-19 menular seperti di negara Eropah dengan iklim sejuk” kata Dr Kunto Adi Wibowo yang merupakan Pengarah Eksekutif Lembaga Survei KedaiKOPI.

responden-rakyat-indonesia-kebal-covid-19
Secara majoriti para responden menganggap COVID-19 sebagai ancaman yang serius bagi Indonesia.

“Ini tidak tepat (mislead) kepada orang ramai, hingga menjadikan rakyat hanya sambil lewa terhadap amalan kesihatan yang harus dilakukan,” katanya ketika ditemu bual dalam Agenda AWANI.

Sebahagian responden meletakkan kepercayaan yang tinggi terhadap parti pemerintah dalam usaha menangani COVID-19 di Indonesia. Manakala majoriti daripada mereka kurang percaya dengan fasiliti kesihatan dan layanan di tempat mereka seandainya wabak COVID-19 merebak ke sana.

“Sebenarnya, kalau doktor-doktor di hospital atau klinik yang sempat saya hubungi, mereka juga kebingungan kerana tidak ada arahan yang jelas dan tegas dari pemerintah pusat terutama dari Kementerian Kesihatan.

“Itu cukup membuat situasi di lapangan agak mengkhuatirkan. Bagi saya asas kepada ini adalah data, kita perlu mendiagnosis secara tepat bilakah puncaknya. Kalau ujian dibuat secara massa, pemimpin pusat perlu terbuka terhadap hasil ujian tersebut,” katanya.

rakyat-indonesia-covid-19
Seorang wanita berdiri di sebelah mural berkaitan COVID-19

Lebih mengecewakan lagi, walaupun rakyat Indonesia yang menjadi responden bagi kajian tersebut sudah sedia maklum kepada amalan pencegahan COVID-19 dengan mencuci tangan, mereka masih lagi tidak menggunakan topeng mulut dan hidung ketika keluar ke tempat terbuka.

Indonesia ketika ini sudah mencatatkan lebih 2,400 kes positif COVID-19 dengan angka kematian mencecah 209 orang. Angka korban itu merupakan yang tertinggi di benua Asia, tidak termasuk negara China.

Baca juga artikel kami yang lain berkaitan COVID-19: