Selepas Offshore Leaks, Panama, Paradise dan kini Pandora Papers, ia merupakan siri pendedahan kekayaan menggunakan akaun luar pesisir. Pemimpin negara, politik, perniagaan dan kerajaan termasuk dari Malaysia, Jordan, United Kingdom dan Qatar menggunakan akaun ini untuk menyembunyikan kekayaan dan melarikan diri dari membayar cukai.

Siasatan International Consortium of Investigative Journalists (ICIJ) mendedahkan bagaimana individu-individu ini menyembunyikan wang dan pelaburan bernilai ratusan juta dolar. Laporan siasatan dinamakan sebagai Pandora Papers dan ia melibatkan 600 orang wartawan dari beberapa media termasuk The Washington Post, BBC dan The Guardian.

Beberapa orang pemimpin kerajaan, bekas menteri dan ahli parlimen Malaysia turut dinamakan di dalam laporan tersebut. Penulisan ini mengupas latar belakang pendedahan ini dan apa reaksi pemimpin yang dinamakan.

Latar belakang pendedahan Pandora Papers

Kredit gambar: Tax Climate

Ini bukanlah kali pertama pendedahan penggunaan akaun luar pesisir ini dibuat oleh International Consortium of Investigative Journalists (ICIJ). Kali terakhir pendedahan ini dibuat adalah pada tahun 2017 menerusi Paradise Papers dan fail FinCen pada tahun 2020.

Kebiasaannya, pemimpin negara, politik, perniagaan dan kerajaan tidak akan menyimpan wang di dalam akaun simpanan biasa. Lebih-lebih lagi di negara mereka sendiri yang memerlukan mereka untuk diaudit. Ia juga dibuat bagi mengelakkan pembayaran cukai.

Negara-negara seperti Panama, Bahamas, Cayman Islands dan British Virgin Islands akan digunakan sebagai modus operandi. Kebiasaannya, ia merupakan negara kecil dan tidak mempunyai ramai penduduk.

Syarikat dan akaun perbankan akan dibuka di negara tersebut yang akan menawarkan kadar cukai yang rendah. Negara-negara ini biasanya menjadikan caj bagi akaun luar pesisir sebagai pendapatan utama mereka.

Masalah penggunaan akaun luar pesisir

Kredit gambar: Euro Babble

Pada kebiasaannya, pengguna akaun luar pesisir ini akan mengemukakan hujah bagi melindungi privasi. Tidak kurang juga yang menyatakan bahawa penggunaannya tidak menyalahi undang-undang.

Biarpun begitu, Pandora Papers merupakan bukti yang menunjukkan industri luar pesisir yang menggalakkan rasuah dan jenayah kewangan, sambil menyekat keadilan. Tanpa sebarang pendedahan, pemimpin politik boleh menggunakan akaun-akaun ini untuk menyembunyikan kekayaan mereka. Mereka juga boleh menggunakan proksi seperti keluarga terdekat sebagai penama untuk akaun luar pesisir ini.

Selain itu juga, pemimpin yang dinamakan di dalam Pandora Papers kehilangan locus standi untuk berhujah tentang keterbukaan dan ketelusan. Ini kerana, tindakan menggunakan akaun luar pesisir dilihat bertentangan dengan idea-idea tersebut.

Menurut International Monetary Fund (IMF), sejumlah RM2.5 trilion (USD600 bilion) wang percukaian di seluruh dunia lesap saban tahun akibat aktiviti ini. International Consortium of Investigative Journalists (ICIJ) menganggarkan sejumlah RM24.1 trilion (USD5.6 trilion) hingga RM133.7 trilion (USD32 trilion) disimpan di dalam akaun-akaun ini.

Pemimpin Malaysia yang dinamakan dan reaksi mereka

Kredit gambar: Coconuts

Antara nama individu didedahkan mempunyai akaun luar pesisir sulit adalah Raja Jordan Raja Abdullah II, bekas perdana menteri United Kingdom Tony Blair, Perdana Menteri Pakistan Imran Khan dan Presiden Russia Vladimir Putin.

Terdapat ramai pemimpin politik dan ahli perniagaan Malaysia yang dinamakan di dalam laporan tersebut. Antara yang dinamakan adalah Presiden UMNO, Ahmad Zahid Hamidi; Menteri Kewangan, Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz; Timbalan Menteri Kewangan, Yamani Hafez Musa; dan bekas Menteri Kewangan, Tun Daim Zainuddin.

Tidak mengejutkan apabila ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho atau Jho Low juga terpampang di dalam senarai tersebut. Seorang Ahli Parlimen Pembangkang juga dinamakan iaitu William Leong.

Presiden UMNO, Ahmad Zahid Hamidi menyatakan kesediaan beliau untuk disiasat susulan pendedahan tersebut. Beliau didakwa memiliki akaun luar pesisir di British Virgin Island (BVI). Tun Daim Zainuddin pula menyatakan penglibatannya tidak merangkumi kesemua akaunnya dan selain urusniaga yang didedahkan oleh laporan Pandora Papers adalah tidak tepat. Menteri Kewangan, Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz pula mengesahkan beliau telah melepaskan kesemua jawatan dalam Kumpulan Kenanga Holdings Berhad pada Jun 2010.