Selepas Amerika Syarikat dan Kanada membenarkan pemberian Pfizer untuk kanak-kanak, Kesatuan Eropah (EU) semalam meluluskan penggunaan vaksin tersebut dalam kalangan kanak-kanak berusia 12 hingga 15 tahun. Keputusan Jawatankuasa Agensi Perubatan Eropah (EMA) itu dilihat akan mendorong program vaksinasi yang menyeluruh di benua Eropah, dengan Jerman akan mula memberikan suntikan itu kepada kanak-kanak berusia lebih 12 tahun ke atas mulai Jun 2021.

Sebelum ini, vaksin Covid-19 yang dicipta hasil kerjasama oleh syarikat gergasi farmasi Amerika Syarikat iaitu Pfizer dan firma penyelidikan Jerman, BioNTech hanya dibenarkan oleh EU untuk individu berusia 16 tahun ke atas. Pesuruhjaya Kesihatan EU, Stella Kyriakides menyifatkan keputusan ini sebagai langkah penting yang membawa benua Eropah lebih dekat untuk mengakhiri pandemik.

Menurut laporan, vaksin itu dapat berfungsi dengan baik kepada penerima dalam kalangan remaja dan tiada kebimbangan serius mengenai kesan sampingan, menurut Agensi Ubat-Ubatan Eropah yang berpangkalan di Amsterdam. Sementara itu, orang ramai masih diberikan pilihan sama ada untuk memberikan kebenaran atau sebaliknya bagi proses vaksinasi anak-anak mereka.