Berang gerai burger beliau diangkut oleh pihak berkuasa tempatan tanpa penjelasan, seorang lelaki mendedahkan lokasi beberapa ‘port’ mesin kuda dan gerai-gerai milik pendatang asing di Sungai Buloh yang tidak mendapat tindakan serupa.

Lelaki yang memiliki beberapa francais gerai burger itu membuat pendedahan berani tersebut menerusi laman sosial Facebook atas nama akaun Hot Burger Malaysia semalam.

Satu video berdurasi 13.28 saat sudah ditonton oleh 3.6 juta orang selepas 18 jam disiarkan, satu lagi video berdurasi 8.29 saat ditonton oleh 1.4 juta penonton.

Dalam video siaran langsungnya, lelaki tersebut meluahkan kekecewaannya terhadap tindakan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) cawangan Sungai Buloh dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang disifatkannya bersikap tak adil kepada peniaga tempatan.

“Gerai burger orang Melayu diangkutnya. Kedai mesin judi, orang Acheh yang jual rokok seludup dibiarkan sahaja,” katanya dalam video tersebut.

Beliau turut memberitahu dengan membuat video tersebut, beliau memperjudikan nyawanya. “Saya pernah buat aduan kepada polis tentang kegiatan mesin judi yang berleluasa di sini. Tapi entah macam mana, pemilik premis judi boleh tahu identiti saya yang membuat laporan,” katanya.

“Jika ditakdirkan saya mati dibunuh disebabkan pendedahan ini, saya berserah sahaja nasib saya kepada Allah.”

Beliau yang jelas kecewa dengan ketiadaan tindakan daripada pihak polis dan PBT menyatakan akan membawa kes ini kepada perhatian Suruhanjaya Pencegahan Rasuan Malaysia (SPRM).

Sementara itu Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador memberi jaminan tindakan segera akan diambil bagi membanteras kegiatan mesin judi, penjualan rokok seludup dan aktiviti perniagaan haram warga asing di kawasan Sungai Buloh.

Sambil berterima kasih kepada individu yang mendedahkan kegiatan terbabit menerusi satu video yang tular semalam, beliau berkata, tindakan tegas pasti diambil termasuk terhadap mereka yang bersekongkol dalam aktiviti jenayah itu.

Abdul Hamid menegaskan, Bukit Aman sudah memulakan tindakan sebaik pendedahan mengenai kegiatan itu dibuat menerusi video oleh seorang peniaga, dipercayai penjual burger di kawasan Sungai Buloh.

“Bagus ada pihak yang berani dan ikhlas mendedahkan situasi sebenar di lapangan dan kita bertindak segera ke atas semua kegiatan yang salah ini,” katanya.

Baca juga artikel lain yang berkaitan: