Mengalami demam, muntah dan sakit tekak sebaik sahaja pulang daripada Haikou, China menyebabkan penyanyi muda tanah air, Ika Mustafa terpaksa dikuarantin di Hospital Sungai Buloh selepas disyaki mempunyai simpom wabak yang semakin ditakuti pada ketika ini, Coronavirus.

Penyanyi lagu Damaikanlah yang merupakan runut bunyi kepada drama popular, Setelah Aku Dimiliki lakonan Zul Ariffin dan Intan Najwa itu pada mulanya hanya mendapatkan rawatan di klinik berhampiran pada petang semalam dan keadaannya memaksa beliau dirujuk ke Hospital Sungai Buloh.

Selain itu, Ika Mustafa turut mengesahkan perkara tersebut apabila memuatnaik Instagram ‘Story’ dengan keterangan yang berbunyi ‘Suspected for coronavirus. Doakan yang baik-baik.’

Menurut sumber Berita Harian (BH) Online, Ika yang ke China atas urusan kerja mengakui terlihat seorang warga emas yang menaiki penerbangan yang sama dengannya berada dalam keadaan tidak sihat dan membimbangkan.

Kredit foto: Instagram Ika Mustafa

“Seingat saya, dalam penerbangan, saya perhatikan ada penumpang warga emas berusia 60-an dipercayai rakyat China, batuk teruk dengan hingus meleleh. Dia menggunakan banyak tisu untuk mengesat hingus.”

“Setibanya di Haikou, individu terbabit diperiksa dan dia dikatakan datang dari Wuhan. Pada peringkat itu, saya tidaklah terfikir apa-apa, cuma bimbang tetap ada,”ujar Ika Mustafa kepada wartawan BH Online.

“Bagaimanapun, pagi semalam, saya hilang suara apabila bangun tidur. Tekak mula sakit, demam dan muntah-muntah. Pada mulanya, saya hanya ke klinik berhampiran dengan rumah. Tetapi saya dirujuk ke HSB, petang semalam.”

Penyanyi berusia 22 tahun itu turut mendedahkan beliau akan dikuarantin sehingga malam esok dan sekiranya keputusan analisis berjalan dengan baik (negatif), Ika akan dibenarkan pulang ke rumahnya.

Kredit foto: Youtube channel Ika Mustafa