Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) semalam mengeluarkan panduan langkah pencegahan penularan novel Coronavirus (2019-nCov) yang sedang menular ketika ini bagi barangan dari China.

Menurut KKM, pada ketika ini tiada bukti sama ada 2019-nCov masih boleh hidup di permukaan luar barangan dalam tempoh yang lama.

“Sebagai langkah pencegahan, anda boleh menggunakan tisu yang telah dibasahkan dengan hand sanitizer atau sabun dan lap barangan yang baru sampai dari China dengan tisu yang dibasahkan tadi. Dengan cara ini, anda telah pun ‘santize’ barangan tersebut,” beritahu KKM dalam kenyataan rasminya.

Statistik terkini daripada KKM mendedahkan Malaysia mempunyai 7 kes positif 2019-nCov. Jumlah ini bertambah dari 4 kes.

Dua kes baharu jangkitan 2019-nCoV adalah dalam kalangan kes Patient-Under-Investigation (PUI): seorang kanak-kanak berumur empat tahun yang kini dirawat di wad isolasi Hospital Sultanah Maliha, Langkawi dan; seorang lelaki berusia 52 tahun yang kini dirawat di wad isolasi Hospital Sultanah Aminah, Johor Bahru.

Satu lagi kes baru datangnya dari menantu perempuan kepada kes 2019-nCoV pertama di Singapura (iaitu lelaki yang berumur 66 tahun). Beliau yang dahulunya berstatus negatif telah mengambil keputusan untuk tinggal di Malaysia bagi menjaga kedua-dua anaknya yang sedang menerima rawatan di wad isolasi Hospital Sungai Buloh setelah mereka dikesan positif.

Bagi melaksanakan tindakan kawalan dan pencegahan penularan virus 2019-nCoV dengan berkesan, kerajaan mengambil tindakan berikut:

1 – Memberi nasihat perjalanan yang dikeluarkan oleh KKM kepada pelancong dari negara China yang berhasrat untuk melawat Malaysia;

2 – Memaklumkan kepada pelancong dari negara China mengenai keperluan saringan kesihatan di pintu masuk antarabangsa negara;

3 – Mengingatkan pelancong agar sentiasa mengamalkan tahap kebersihan diri yang tinggi seperti kerap mencuci tangan dengan air dan sabun atau menggunakan hand sanitizer.

4 – Menasihati agar rakyat Malaysia yang membuat lawatan ke negara China untuk mengelakkan dari mengunjungi tempat tumpuan ramai, tidak bergaul rapat dengan mana-mana individu yang bergejala, mengelakkan lawatan ke ladang haiwan, pasar yang menjual haiwan hidup, tempat sembelihan haiwan atau menyentuh sebarang jenis haiwan; serta mengelakkan dari memakan produk haiwan mentah atau yang tidak dimasak dengan sempurna.