Kali terakhir Litar Antarabangsa Sepang (SIC) dihujani dengan pengunjung dan deruman bunyi enjin motorsikal berkuasa tinggi adalah pada November 2019, hampir dua tahun lalu. Grand Prix Motorcycle Malaysia 2019 di Litar Sepang dimenangi oleh pelumba Sepanyol Maverick Vinales yang bermula dari petak kedua menang perlumbaan kelas MotoGP.

Pada perlumbaan tersebut, Maverick Vinales yang hanya berusia 24 tahun mewakili pasukan Monster Energy Yamaha MotoGP melengkapkan perlumbaan kelas premier 20 pusingan itu dalam masa 40 minit 14.632 saat (s), 3.059s di hadapan juara dunia 2019 Marc Marquez dari pasukan Repsol Honda dan meninggalkan Andrea Dovizioso dari pasukan Ducati 5.611s di tempat ketiga.

Litar Sepang turut menyaksikan dua orang pelumba pasukan dari Malaysia Petronas Yamaha Sepang Racing Team (SRT) Franco Morbidelli dan Fabio Quartararo masing-masing menduduki tempat keenam dan ketujuh. Satu-satunya wakil negara pada perlumbaan tersebut ialah Hafizh Syahrin Abdullah dari pasukan Red Bull KTM Tech3, menamatkan perlumbaan di tempat ke-16.

Menganjurkan perlumbaan MotoGP sejak 1999, SIC pernah berjaya menarik lebih 100,000 penonton sepanjang minggu perlumbaan dalam beberapa edisi sebelum ini. Litar itu juga seringkali memberi pengalaman mencabar untuk pelumba dua roda terbaik dunia bagi mengimbangi antara cuaca hujan dan panas iklim khatulistiwa.

MotoGP Malaysia adalah venue paling lama di Asia Tenggara sejak 1991, menyaksikan SIC menjadi venue tetap dalam kalendar setelah berpindah dari Litar Shah Alam dan Johor pada 1999. Litar Antarabangsa Sepang juga adalah salah satu litar terpanjang dan mencabar dalam musim perlumbaan dan menjadi litar kegemaran dalam kalangan pelumba serta pasukan. Litar sepanjang 5.543km turut menganjurkan pelbagai perlumbaan klasik serta menyediakan pengalaman unik kepada para peminat sukan permotoran.

Pembatalan MotoGP Sepang edisi tahun 2020

Kredit gambar: https://www.roadracingworld.com/news/motogp-malaysian-gp-cancelled-race-at-misano-added/

Pada 31 Julai 2020, perlumbaan Grand Prix Motosikal Malaysia (GP Malaysia) 2020, salah satu perlumbaan paling menarik dalam kalendar MotoGP yang dijadualkan pada 30 Oktober hingga 1 November 2020 telah dibatalkan susulan pandemik Covid-19. Pembatalan GP Malaysia pada ketika itu merupakan yang pertama sejak 20 tahun penganjurannya.

Keputusan pembatalan itu diumumkan oleh badan pentadbir sukan permotoran iaitu Persekutuan Motosikal Antarabangsa (FIM), Persatuan Pasukan Pelumba Antarabangsa (IRTA) dan Dorna Sports dalam satu kenyataan bersama. Selain pembatalan GP Malaysia di Litar Antarabangsa Sepang (SIC), turut dibatalkan adalah perlumbaan GP Argentina di Litar Termas de Rio Hondo dan GP Thailand di Litar Chang Buriram.

FIM pada tahun lalu memutuskan untuk menambah venue GP di beberapa litar Eropah dalam kalendar Kejuaraan MotoGP yang dijadual pada 20-22 Nov 2020 yang juga perlumbaan terakhir musim lalu. Keputusan tersebut menjadikan semua perlumbaan MotoGP musim 2020 berlangsung di benua Eropah.

Pembatalan MotoGP Sepang buat kali kedua

Kredit gambar: https://www.motogp.com/en/photos/2020/05/18/valentino-rossi-jorge-lorenzo-monster-energy-yamaha-motogp-sepang-motogp-official-test/330694?_ga=2.98868381.2050641977.1629514621-259123187.1629514609

Mengambil maklum situasi terkini pandemik di negara kita dan selepas perbincangan bersama Kementerian Kesihatan (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN), pengurusan Litar Antarabangsa Sepang (SIC) pada awalnya masih berteka-teki tentang status penganjuran perlumbaan MotoGP Malaysia 2021.

Semalam, Persekutuan Motosikal Antarabangsa (FIM) dan Dorna Sports selaku pemegang hak eksklusif komersial dan televisyen MotoGP mengumumkan pembatalan MotoGP Malaysia bagi edisi 2021. Menurut kenyataan tersebut, status penularan wabak Covid-19 dan serta sekatan perjalanan yang dilaksanakan Malaysia menjadi faktor pembatalan acara tersebut.

MotoGP Malaysia sebelum ini dijadual pada 29 hingga 31 Oktober 2021. Tarikh tersebut kemudiannya diawalkan kepada 22 hingga 24 Oktober ini, seminggu lebih awal dari jadual asal. Perubahan itu berikutan pembatalan GP Australia iaitu untuk musim kedua berturut-turut. Saingan MotoGP Australia di Litar Phillip Island itu sepatutnya berlangsung pada tarikh berkenaan tetapi dibatalkan susulan sekatan perjalanan masuk ke negara itu dan masalah logistik akibat pandemik.

Pembatalan GP Malaysia turut menyaksikan impian peminat tempatan untuk menyaksikan penampilan terakhir legenda MotoGP Valentino Rossi di Sepang sebelum bersara juga tidak kesampaian.