Semalam Wan Muhammad Azri Wan Deris atau lebih dikenali sebagai Papa Gomo menempelak tindakan Dr Amalina Che Bakri yang menegur Menteri Kesihatan kerana mencadangkan minum air suam untuk mengelak jangkitan COVID-19.

Menurut Papa Gomo, Menteri Kesihatan iaitu Dato’ Sri Dr. Adham Baba mencadangkan minum air suam sebagai rawatan COVID-19 berdasarkan pengalaman luasnya.

“Realitinya Dr. Adham Baba adalah doktor yang sebenar-benarnya doktor. Dia bukan macam Dr. Dzul (Datuk Seri Dr. Dzulkefly bin Ahmad), mantan Menteri Kesihatan sebelum ini.

“Dr. Dzul adalah doktor atas kertas, PhD. Saya minta maaf. Saya bukan nak hina siapa-siapa yang ada PhD. Tapi ini adalah realiti yang berlaku. Dr. Adham adalah doktor yang berpuluh tahun merawat pesakit. Dia ada 18 klinik kesihatan.

“Kita ini pun kalau kurang sihat, pergi ke hospital atau klinik untuk jumpa doktor, apa yang doktor nasihat? Encik, banyakkan minum air suam. Adakah doktor yang suruh minum banyak-banyak air Coke atau air ketum?”

“Realitinya penyakit [COVID-19] tiada ubat dan vaksin. Jadi takkan Dr. Adham kata kena pakai ubat? Tak ada ubat! Jadi cara yang dia boleh cakap adalah minum air suamlah.”

Bermula dari rancangan TV1

Dr. Adham memberi cadangan tersebut dalam satu rancangan terbitan TV1, Bicara Naratif.

Menurut Dr. Adham dalam rancangan tersebut, beliau menyarankan orang ramai di Malaysia untuk minum air masak suam kerana ‘virus tak suka panas’.

“Virus ini akan dinyahkan, disingkirkan masuk ke perut, Di perut ada asid, dia [virus] kalah. Kemudian dia akan disingkirkan. Yang penting kita kena singkirkan virus di kerongkong.”

Petikan kenyataan beliau boleh dilihat dalam video di bawah:

Susulan kenyataan yang dikeluarkan oleh Menteri Kesihatan itu, Dr. Amalina memberitahu cadangan Dr. Adham itu tidak direkomendasi kerana tiada bukti yang menyokongnya.

Beliau menulis di akaun Twitter beliau:

“Tidak kiralah di mana anda dengar tips ini walaupun di TV nasional, tips ini adalah mitos. Tips yang betul adalah jaga kebersihan, basuh tangan, jangan sentuh muka, amalkan batuk/bersin etiquette, duduk rumah dan amalkan social distancing 1 meter.”

Dr. Amalina turut menjelaskan suhu atas 60 darjah Celcius memang boleh menyahaktifkan virus di luar badan.

“Tapi bila sudah dalam badan kita, minum air panas tak akan lemahkan virus itu. Dakwaan asid di perut boleh bunuh virus juga tiada bukti.”

“Minum air memang bagus supaya anda kekal hidrat. Tetapi ia takkan menyahaktif virus.”

‘Dr. Amalina tak ada pengalaman rawat pesakit macam Dr. Adham’

Bercakap secara langsung di akaun Facebook beliau malam semalam, Papa Gomo memberitahu pengikutnya Dr Amalina adalah ‘doktor muda yang baru lagi’.

“Dia pun tak ada pengalaman untuk handle kes-kes yang mana merawat pesakit pun belum lagi. Dia banyak kepada praktikal.”

“Saya bukan nak memperlekehkan Dr. Amalina. Tapi pada saya Dr. Amalina ini muda dan tak tahu situasi semasa hari ini.”

Dr. Adham Baba mempunyai Ijazah Perubatan dari Universiti Malaya dan mempunyai 18 klinik kesihatan seluruh Malaysia.

Dr. Amalina Che Bakri pula merupakan pemegang dua ijazah (perubatan dan farmakologi), ijazah sarjana (falsafah dalam perubatan dan terapeutik). Ketika ini beliau sedang melanjutkan pelajaran ijazah doktor falsafah, PhD dan berkhidmat sebagai doktor pakar pelatih dalam bidang pembedahan dan kanser di Imperial College, London pula.

Baca juga artikel kami yang lain mengenai impak wabak COVID-19 kepada Malaysia: