Belanda ialah sebuah negara yang terletak di barat laut benua Eropah. Negara ini bersempadan dengan Jerman di timur, Belgium di selatan dan mempunyai sempadan maritim dengan United Kingdom.

Negara ini bukanlah asing dengan Malaysia. Suatu ketika dahulu, Belanda pernah menjajah negeri Melaka. Selain itu juga, Belanda menjalankan perniagaan bijih timah di negeri Perak, lantas meninggalkan Kota Belanda yang masih ada sehingga hari ini.

Asimilasi budaya yang dibawa oleh penjajah Belanda juga masih tertanam di dalam masyarakat tempatan. Terma seperti ayam belanda dan durian belanda masih lagi kekal digunakan sehingga hari ini.

Namun begitu, tahukah anda sejak akhir-akhir ini, Belanda lebih dikenali dengan ketinggian penduduknya? Peningkatan mendadak ketinggian tubuh badan masyarakat Belanda ini turut dikaji oleh saintis.

Berikut dibincangkan dapatan kajian tersebut.

140 tahun lalu, tentera Belanda sangat pendek

Kredit gambar: Pinterest

Kini digelar sebagai negara gergasi, purata ketinggian lelaki Belanda ialah 182.5cm dan wanita mereka 168.7cm. Sekiranya dibandingkan dengan rakyat Amerika Syarikat, purata ketinggian lelaki di sana adalah pada 177.1cm dan wanita pada 163.5cm.

Namun, keadaan ini adalah fenomena baharu. Kajian terhadap rekod tentera Belanda menunjukkan pada pertengahan 1880, lelaki Belanda adalah yang paling rendah di Eropah. Kajian rekod tentera ini telah diterbitkan oleh Royal Society of London.

Menurut Professor Louise Barrett dari University of Lethbridge, Kanada, ketika itu tentera lelaki Belanda hanya mempunyai purata ketinggian 165cm. Sekiranya dibandingkan dengan tentera lelaki Amerika Syarikat, mereka mempunyai purata ketinggian sehingga 170cm.

Ketika itu, lelaki Amerika Syarikat dianggap mempunyai ketinggian yang tertinggi di dunia.

Penjelasan paling popular

Kredit gambar: The Guardian

Ramai yang mengaitkan ketinggian dengan nutrisi pemakanan. Penduduk Belanda memiliki industri pemakanan yang membekalkan mereka dengan produk tenusu dan daging yang sihat.

Namun begitu, ia tidak menjawab persoalan ini di Eropah. Ini kerana, banyak negara lain yang maju dan berdaya saing di Eropah dan mampu menyediakan makanan yang sihat pada yang harga berpatutan kepada rakyat mereka.

Selain itu juga, ketinggian penduduk dikaitkan dengan baka. Ini kerana, ibu dan bapa yang tinggi biasanya memiliki anak yang sama tinggi. Dan ini merupakan faktor yang mendorong peningkatan tinggi penduduk Belanda.

Ibu bapa yang tinggi ini juga tidak memiliki anak dengan cepat. Selepas perkahwinan mereka benar-benar stabil, barulah mereka mula merancang untuk mendapatkan zuriat. Dan keluarga ini secara purata memiliki anak yang ramai.

Dari situ, ia berkembang dan menjadikan penduduk Belanda secara puratanya adalah tinggi.