Nintendo PlayStation mungkin kedengaran asing di telinga anda. Tetapi bagi peminat sejarah konsol permainan video, Nintendo PlayStation merupakan ‘bapa’ PlayStation 1 (PS1) atau moyang kepada PS4.
Pada 6 Mac lepas, satu-satunya konsol permainan Nintendo PlayStation yang diketahui wujud di dunia setakat ini telah bertukar milik.
Konsol Nintendo PlayStation ini terjual pada harga US$360,000 (RM1.5 juta) kepada seorang individu rahsia dalam satu acara lelongan di Amerika Syarikat.
Kewujudan prototaip konsol lagenda ini menarik minat banyak pembida yang bersedia untuk membayar harga mahal. Malah pengasas Oculus Palmer Luckey turut berminat membida konsol tersebut.
Walaupun terjual pada harga rekod dalam acara lelongan tersebut, pemiliknya Terry Diebold agak kecewa kerana harga bidaan tertinggi tidak mencapai apa yang diharapkannya.
Terry Diebold memberitahu media beliau pernah mendapat tawaran US$1.2 juta (RM5 juta) daripada seorang individu yang berminat untuk membeli konsol tersebut sebelum acara lelongan tersebut.
Tetapi beliau membuat keputusan untuk tidak menjual, dengan harapan akan mendapat harga lebih tinggi dalam acara lelongan.
Ketika menceritakan bagaimana Nintendo PlayStation itu boleh dimilikinya, Diebold berkata beliau memenangi konsol bersejarah itu daripada acara lelongan harta bekas presiden Sony Computer Entertainment America, Olaf Olafsson pada harga US$75 (RM313).
Beliau sendiri bukan seorang pemain video permainan yang tegar. Jadi konsol tersebut hanya disimpan di stor rumahnya sehinggalah anaknya, Dan Diebold menyedari nilai sebenarnya selepas membaca tentang sejarahnya di Reddit.
Sejak itu, Terry dan anaknya menjelajah ke konvensyen permainan video seluruh negara untuk menarik minat pembida tentang kewujudan artifak sejarah tersebut.
Walaupun tidak dapat harga bidaan yang dimahukannya, sekurang-kurangnya Terry berjaya menggandakan pelaburan RM313 sebanyak 4,800 kali ganda untuk membawa pulang RM1.5 juta.
Kepada anda yang membaca artikel ini, jika anda mempunyai Nintendo PlayStation seperti Terry Diebold, kami ada satu nasihat – jual di Amerika Syarikat.
Dilaporkan ketika konsol ini dikeluarkan, hanya 200 unit prototaip sahaja dikeluarkan ke seluruh dunia. Jadi ia sangat, sangat rare.
Sejarah Nintendo PlayStation
Sebelum kewujudan Nintendo SNES dan PS1, Nintendo PlayStation adalah ilham Sony dan Nintendo dalam dunia permainan video pada tahun 1988. Ia menambah teknologi slot CD-ROM dalam konsol Super Nintendo Entertainment System (SNES).
Kelahiran konsol ini membolehkan SNES – yang menggunakan sistem katrij – turut berkebolehan untuk memainkan permainan CD.
Tetapi Sony dan Nintendo tidak mencapai kata persetujuan dalam hal pembahagian duit. Sony dikatakan mahu menyimpan semua duit dari lesen CD dan akan memberikan royalti kepada Nintendo kemudian. Sudah tentulah Nintendo tidak bersetuju.
Tetapi ‘perkelahian’ ini tidak menghalang Sony untuk melancarkan Nintendo PlayStation di Chicago CES pada 1991. Keesokan harinya, Nintendo membalas dendam dengan mengumumkan mereka memutuskan hubungan dengan Sony untuk bekerjasama dengan Philips. Seperti yang kita tahu hari ini, kerjasama Nintendo dengan Philips tersebut tidak menjadi.
Walaupun begitu, jika tidak kerana perpecahan ini, Sony tidak akan melancarkan PS1, seterusnya francais PS yang lain – aset syarikat mereka yang paling menguntungkan sehingga hari ini.
Selebihnya seperti yang orang putih cakap – the rest is history.
(Foto: EnGadget)