Ringgit Malaysia ialah unit mata wang Malaysia dengan kod mata wang MYR. Bank Negara Malaysia (BNM) mula mengeluarkan wang kertas Malaysia yang pertama pada tahun 1967. Ringgit mempunyai wang kertas bernilai RM100, RM50, RM20, RM10, RM5, dan RM1. Selain itu juga, Ringgit didominasikan dengan wang syiling, 50 sen, 20 sen, 10 sen, dan 5 sen.

Suatu ketika dahulu, kita turut menggunakan wang syiling satu sen. Namun, penggunaan wang syiling satu sen ini dihentikan sepenuhnya pada 1 April 2008 berikutan pengenalan mekanisme membundarkan nilai kepada nilai lima sen terhampir. Wang kertas jenis $1,000 juga pernah dikeluarkan pada 2 September 1968 sebelum dihentikan.

Nama Ringgit berasal daripada sisi bergigi wang perak Sepanyol yang digunakan secara meluas pada zaman dahulu. Bermula Ogos 1975, nama Ringgit diterima secara rasmi sebagai nama khas mata wang Malaysia.

Sebelum itu, wang dikenali sebagai dollar dalam Bahasa Inggeris dan ringgit dalam Bahasa Melayu. Namun penggunaan simbol $ terus digunakan sehingga ditukar secara rasmi kepada RM pada tahun 1993 dan kekal digunakan sehingga ke hari ini.

Sejak dari kecil, kita diberikan wang saku dalam bentuk wang kertas ataupun syiling. Namun begitu, mungkin ramai yang tidak tahu sebenarnya wang kertas atau syiling yang rosak boleh digantikan semula dan masih mempunyai nilai.

Jenis-jenis kerosakan pada wang kertas

Kredit gambar: Harian Post

Terdapat 12 jenis kerosakan dan kecacatan pada sehelai wang kertas yang boleh berlaku kepada wang di dalam simpanan anda. Antara kerosakan yang paling ketara ialah:

  1. Kotor atau lusuh;
  2. Lembik dengan kesan lipatan yang berlebihan;
  3. Renyuk dan kecut, terutamanya bagi wang kertas polymer;
  4. Terdapat kesan contengan;
  5. Luntur warna akibat bahan kimia atau terbasuh;
  6. Terkoyak melebihi 5mm;
  7. Berlubang melebihi 5mm;
  8. Ubah suai menggunakan pita pelekat;
  9. Lipatan bucu kekal, mengurangkan saiz sebanyak 5mm;
  10. Terbakar atau dimakan anai-anai;
  11. Cantuman wang kertas;
  12. Hilang ciri-ciri keselamatan pada wang kertas.

Bagi setiap kerosakan yang berlaku di atas, terdapat penilaian yang perlu dibuat oleh pihak bank sebelum menggantikannya dengan wang lain.

Penilaian kerosakan wang kertas

Kredit gambar: Modenlist

Menurut Bank Negara Malaysia (BNM), terdapat beberapa kategori nilai penebusan bagi wang kertas rosak iaitu seperti yang berikut:

  1. Nilai penuh hendaklah diberikan bagi sebarang keping wang kertas yang melebihi dua pertiga (2/3) daripada saiz wang kertas yang asal;
  2. Nilai separuh hendaklah diberikan bagi sebarang keping wang kertas yang melebihi setengah (1/2) tetapi kurang dua pertiga (2/3) daripada saiz wang kertas yang asal;
  3. Tiada nilai bagi sebarang keping wang kertas yang kurang setengah (1/2) daripada wang kertas yang asal.

Bagi keadaan pertama, sekiranya wang kertas RM1 milik anda masih dalam keadaan 2/3 daripada saiz asal, anda layak menukarkannya kepada RM1 yang lain. Untuk keadaan kedua pula, wang RM1 tersebut hanya boleh digantikan dengan RM0.50.

Tiada sebarang nilai dapat menggantikan wang kertas yang telah rosak melebihi 1/2 daripada bentuk asalnya. Menurut BNM lagi, wang kertas dan duit syiling yang tidak sesuai untuk edaran semula boleh ditukarkan di mana-mana institusi kewangan.