Semalam, Facebook mengumumkan rancangan mereka untuk memasang dua kabel dasar laut baharu bagi menghubungkan Singapura danIndonesia dengan benua Amerika Utara. Projek ini dikelolakan oleh Facebook bersama-sama dengan Google dan syarikat telekomunikasi tempatan XL Axiata untuk Indonesia dan Telin dari Singapura.

Rancangan ini dilaporkan bakal meningkatkan lagi keupayaan sambungan internet antara kedua-dua rantau terbabit.

Sebelum ini, antara projek kabel dasar laut yang dipasang oleh Facebook adalah di benua Afrika.

Echo dan Bifrost yang merentasi Laut Jawa

Dinamakan Echo dan Bifrost, kabel ini bakal menjadi kabel dasar laut pertama yang dipasang merentasi Laut Jawa. Menurut Naib Presiden Jaringan Facebook, Kevin Salvadori projek ini bakal meningkatkan kapasiti keseluruhan sambungan internet bagi kawasan Trans-Pasifik sehingga 70 peratus.

Echo dan Bifrost ini akan menjadi sambungan kabel dasar laut yang pertama seumpamanya yang menghubungkan Amerika Utara dengan beberapa kawasan utama Indonesia, dan akan meningkatkan sambungan internet bagi wilayah tengah dan timur negara itu.

Echo akan dibina oleh Facebook dengan kerjasama Google dan syarikat telekomunikasi Indonesia XL Axiata. Ia dijangka siap pada tahun 2023. Manakala Bifrost akan dibina bersama-sama dengan syarikat Telin dan Keppel. Sambungan ini pula dijangka siap pada tahun 2024.

Pelaburan Facebook untuk jangka panjang

Kredit gambar: https://headquartersoffice.com/facebook/

Indonesia merupakan negara ketiga terbesar di dunia yang menggunakan Facebook. Walaupun terdapat keterbatasan dari sudut capaian internet dengan hanya 73.7 peratus penduduknya mempunyai akses kepada internet.

Setakat Januari 2021, terdapat 170 juta pengguna media sosial di Indonesia dengan 140 juta daripada mereka menggunakan Facebook. Indonesia hanya dibelakang dua buah negara lain iaitu Amerika Syarikat dengan 190 juta pengguna dan India dengan 320 juta pengguna Facebook.

Dengan peningkatan pengguna internet sebanyak 25 juta pada tahun 2019 hingga 2020 dan 10 juta dari tahun 2020 hingga tahun 2021, tidaklah mengejutkan apabila Indonesia menjadi sasaran Facebook sebagai tapak bagi pelaburan jangka panjang mereka.

 

Sumber: