Masjid Jamek Bandar Baru Seri Petaling menyangkal laporan yang mengatakan seramai 16,000 orang telah menghadiri Program Ijtima’ Tabligh anjuran mereka sepanjang 28 Februari hingga 2 Mac lepas.

Kementerian Kesihatan sebelum ini menganggarkan kira-kira 16,000 peserta telah terlibat dalam perhimpunan keagamaan itu.

Daripada angka tersebut, kira-kira 14,500 dipercayai rakyat Malaysia, menurut infografik yang dimuatnaik oleh Ketua Pengarah Kesihatan Noor Hisham Abdullah pada 12 Mac lepas.

Ini merupakan kenyataan rasmi pertama dari penganjur program yang dikatakan bertanggungjawab menjadi kluster gelombang kedua wabak COVID-19 di Malaysia.

Abdullah Cheong yang mewakili Ahli Mesyuarat Markaz Dakwah & Tabligh Malaysia memberitahu dalam kenyataan rasminya:

“Pada Sabtu malam, 29 Februari 2020 yang lalu, data rasmi Masjid Seri Petaling menunjukkan bahawa jumlah peserta yang bersolat Maghrib di masjid kami, termasuk tetamu luar negara dan mereka yang mempunyai tugas-tugas khidmat (seperti menjaga trafik, memasak, menjaga ruang parkir dan sebagainya) adalah sekitar 12,500 orang. Inilah kehadiran tertinggi ketika ijtima’ kami berlangsung.”

Menurut Abdullah, kiraan sekitar 12,500 orang ini didapati hasil rutin Syukbah (bahagian) Pendataan ketika program tersebut berlangsung. 1,600 daripadanya merupakan tetamu luar negara yang telah kembali ke negara masing-masing. Selebihnya terdiri daripada warga tempatan.

Wakil Masjid Seri Petaling itu turut menjelaskan Syukbah Pendataan dilakukan melalui data logik berdasarkan keluasan tempat ijtimak dan jumlah yang hadir.

“Sebagai contoh, sayap kanan masjid boleh memuatkan 1,700 orang (85 orang bagi setiap saf x 20 saf) manakala baki lima saf lagi dikhaskan untuk beg peserta ijtimak. Sementara di bahagian tetamu luar yang berlantai marmar, boleh memuatkan 840 orang (42 orang setiap saf x 20 saf).

“Jumlah kehadiran ijtimak, kami kira semasa solat didirikan berdasarkan kiraan kepala dalam setiap saf dan bukanlah anggaran semata-mata. Ini adalah bagi memudahkan pengurusan makanan dan tempat tinggal untuk semua peserta ijtimak,” katanya.

Menurut Abdullah lagi, terdapat beberapa trend kehadiran dan jumlah peserta dalam saf sepanjang ijtimak berlangsung.

“Jumlah peserta paling ramai dicatat pada setiap waktu Maghrib pada Sabtu malam serta waktu Maghrib dan Zohor memandangkan sebahagian besar jemaah mengamalkan solat jamak.”

Abdullah turut memberitahu berdasarkan rekod Kementerian Kesihatan (KKM) setakat 19 Mac, sekitar 10,500 peserta ijtimak sudah pun disaring.

“Ini bermakna hanya sekitar 500 peserta tempatan yang belum disaring bagi membendung penularan COVID-19,” katanya.

Selain itu dalam kenyataan sama, beliau juga menolak dakwaan terdapatnya ribuan warga Rohingya yang telah menyertai ijtimak itu. Ini memandangkan rekod rasmi menunjukkan bilangan peserta Rohingya hanya sekitar 200 orang dan dari Myanmar pula 150 orang.

Mengenai saringan dan pemeriksaan kesihatan, Abdullah menjelaskan pihaknya menerima banyak laporan mengenai peserta ijtimak yang telah pergi ke pejabat kesihatan daerah ataupun hospital berhampiran terutamanya pada beberapa hari pertama.

“Apabila mereka tidak menunjukkan sebarang gejala, mereka telah minta pulang ke rumah masing-masing dan dikuarantin selama 14 hari. Namun kami khuatir butiran mereka tidak direkod sebelum dihantar pulang.

“Jadi, apabila terdengar laporan yang mengatakan ribuan peserta ijtimak belum disaring, ramai antara mereka telah pergi berkali-kali ke pejabat kesihatan atau hospital sehingga nama dan butiran mereka direkodkan.

Setakat ini Malaysia sudah mencatat lapan kes kematian akibat wabak COVID-19. Empat daripadanya dijangkiti dari kluster tabligh.

Baca juga artikel kami yang lain mengenai gelombang kedua wabak COVID-19 di Malaysia: