Ketua Pengarah Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Datuk Dr Noor Hisham Abdullah memohon kepada seluruh rakyat Malaysia supaya memainkan peranan penting dalam usaha menangani penularan wabak COVID-19 susulan hari pertama penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan yang diumumkan, kelmarin.

Hasil tinjauan di laman Facebook rasmi milik beliau, Datuk Dr Noor Hisham memberikan arahan yang begitu mudah kepada orang ramai iaitu dengan mengatakan “sila duduk di rumah dan jarakkan diri anda daripada orang lain”.

”Saya merayu kepada semua rakyat Malaysia, sila ambil perintah kawalan pergerakan ini secara serius. “Duduk di rumah dan jangan keluar.”

Beliau dalam pada itu turut menyeru kepada semua supaya memberikan kerjasama dalam membantu pihak KKM menghadapi tekanan wabak ini dan turut mengakui perkara ini akan bertambah teruk sekiranya orang ramai tidak mengambil langkah berjaga-jaga.

”Kegagalan bukan pilihan di sini. Jika tidak, kita mungkin menghadapi gelombang ketiga virus ini, yang seterusnya akan menjadi lebih besar seperti tsunami, lebih-lebih lagi, jika kita mempunyai sikap ‘tidak kisah’. ”

”Kita mempunyai peluang yang tipis untuk memutuskan rangkaian jangkitan COVID-19. Bantulah KKM dengan memainkan peranan anda, kerana setiap individu bertanggungjawab untuk mengambil segala langkah, berjaga-jaga demi keselamatan diri dan keluarga.”

Hari pertama penguatkuasaan perintah kawalan ini menyaksikan masih terdapat juga rakyat Malaysia yang ingkar dengan arahan daripada pihak berwajib seperti ‘melepak’ di kedai makan secara berkumpulan.

Sehingga artikel ini ditulis, tambahan sebanyak 117 kes positif telah dicatatkan bagi menjadikan jumlah terkini sebanyak 790 kes. Berita sedih turut diterima semalam apabila dua pesakit telah disahkan meninggal dunia.

Kredit foto: Facebook Datuk Dr Noor Hisham Abdullah