Buah kiwi atau dalam bahasa saintifiknya digelar sebagai Actinidia Deliciosa, merupakan buah yang tergolong dalam keluarga Actinidiaceae. Sebenarnya, buah kiwi ini berasal daripada negara China.

Pada awal abad ke-20, benihnya mula dibawa ke New Zealand dan ditanam secara komersil. Ia digelar kiwi kerana rupa luarannya yang seakan-akan menyerupai burung kiwi.

Populariti buah ini pantas mendapat perhatian dalam kalangan tentera British dan Amerika Syarikat. Buah kiwi mula dieksport ke United Kingdom dan kemudiannya ke California.

Buah kiwi merupakan spesis beri yang mempunyai batang pokok yang keras. Ia berbentuk bujur dan saiznya seperti saiz sebiji telur ayam. Terdapat dua jenis buahnya iaitu isi berwarna hijau dikenali sebagai Hayward dan berisi kuning dikenali Hort 16A.

Kumpulan petani buah kiwi: Zespri

Kredit gambar: FFP

Zespri International Limited merupakan koperasi penanam buah kiwi terbesar di dunia. Seramai 2,500 orang petani berada di dalam koperasi ini dengan ibu pejabatnya di New Zealand.

Buah kiwi jenama Zespri ditanam di New Zealand, Itali, Perancis, Jepun, Korea Selatan dan Australia. Mungkin fakta ini pelik, tetapi buah kiwi merupakan tanaman bermusim. Sebagai contoh, kiwi Zespri dari New Zealand hanya dapat mengeluarkan hasilnya pada sekitar bulan Mei hingga Oktober.

Bagi memenuhi kehendak pasaran, tanaman buah kiwi di Itali pula dituai dari bulan November hingga Januari. Sepanjang tahun 2021, Zespri mencatatkan jualan berjumlah RM11.3 billion.

Kiwi Zespri dijual dalam dua jenis iaitu Green dan SunGold. Benih pokok gred SunGold dikatakan menjadi rebutan dan kini sedang cuba ditiru oleh China.

Khasiat buah kiwi

Kredit gambar: FNA

Biarpun kecil, buah kiwi mempunyai banyak khasiatnya untuk kesihatan manusia. Ia mengandungi jumlah potasium yang sama dengan sebiji pisang selain kaya dengan beta-karotin dan zat galian yang lain seperti magnesium, zink, zat besi dan fosforus.

Menurut laporan Medical Daily pada 2011 pesakit darah tinggi yang makan buah kiwi setiap hari mampu menurunkan tekanan darah mereka.

Buah kiwi juga adalah sumber terbaik bagi antioksidan larut lemak dan vitamin E yang penting, membolehkan buah kiwi melindungi tubuh daripada radikal bebas.

Antioksidan pada buah kiwi mampu bertindak sebagai anti-keradangan, mencegah penyakit barah dan hepatitis. Pengambilan buah kiwi secara berterusan juga dapat melindungi tubuh daripada jangkitan penyakit kerana sifatnya yang kaya dengan vitamin, zat galian serta anti-oksidan.

Maka, tidak hairanlah benih buah kiwi yang terbaik ini menjadi rebutan antara negara.