Jika anda sudah menonton filem The Platform di Netflix, anda pastinya tertanya-tanya: apa maksud ending yang cuba disampaikan? Apa mesej yang watak utama, Goreng, cuba hantar?
Saya akan cuba menjawab dua soalan ini dan juga soalan-soalan lain yang mungkin anda akan tertanya-tanya semasa menonton The Platform.
Amaran: Penjelasan di bawah mengandungi spoilers. Sila tonton The Platform sebelum membaca artikel ini.
1. Kenapa makanan untuk semua banduan di penjara diberi dalam satu hidangan sama?
Makanan semua banduan diberi dalam satu hidangan sama untuk melambangkan sumber kekayaan sebuah negara yang dikongsi oleh semua rakyat.
Banduan di tingkat atasan melambangkan orang berkuasa (raja, ahli politik, keluarga kaya dsb). Mereka mempunyai kuasa untuk menentukan sama ada orang bawah dapat makan atau tak.
Jika mereka bertimbang rasa, maka dapatlah orang bawah makan. Jika mereka tidak bertimbang rasa, maka tak dapatlah orang bawah makan.
2. Jumlah tingkat dalam penjara adalah sebanyak 333. Apa maksudnya?
666 dalam kepercayaan lama Kristian bermaksud syaitan atau neraka. Jadi 333 – separuh daripada 666 – yang menjadi jumlah tingkat dalam penjara itu bermaksud ‘separuh jalan menuju ke neraka’.
Ini bermakna sesiapa yang masuk ke penjara tersebut akan menempuhi kehidupan yang teruk seperti sudah separuh jalan menuju ke neraka.
3. Kenapa Goreng masuk penjara untuk dapatkan diploma?
Di sini pembuat filem cuba menggambarkan realiti pergelutan orang bawahan yang cuba naik ‘ke atas’ dengan belajar di kolej/universiti untuk mendapatkan diploma/ijazah. Tetapi bila dah dapat diploma/ijazah, mereka dibebani oleh pinjaman pelajaran yang membebankan apabila sudah bekerja.
Kesukaran ini digambarkan seperti masuk ke penjara.
4. Kenapa Goreng bawa buku Don Quixote?
Sebelum masuk penjara, setiap banduan dibenarkan membawa satu barang peribadi. Goreng yang memilih buku Don Quixote adalah simbol orang muda yang mempunyai cita-cita besar untuk mengubah dunia. Don Quixote sendiri merupakan novel yang menceritakan tentang kepentingan mempunyai semangat dan cita-cita besar.
Imoguiri yang membawa anjing adalah simbol orang yang tidak mementingkan diri.
Baharat yang membawa tali adalah simbol orang beragama/bermoral yang percaya orang atasan akan membantu mereka ‘naik atas’ jika mereka percaya kepada Tuhan yang sama.
Trimagasi yang membawa pisau Samurai Plus pula adalah simbol orang yang hanya memikirkan diri mereka sendiri. Begitu juga dengan banduan yang berak di muka Baharat, yang bawa duit dan yang tak mempedulikan cadangan Imoguiri.
5. Kenapa setiap banduan diletakkan di tingkat berbeza setiap bulan?
Semua banduan diletakkan di tingkat berbeza setiap bulan untuk melambangkan turun naik tahap kekayaan manusia sepanjang hidup mereka. Ada kalanya kita di atas. Ada kalanya kita di bawah.
6. Kenapa Miharu duduk di platform makanan?
Miharu adalah simbol ibu-ibu yang sanggup berkorban demi anaknya. Memandangkan beliau tidak duduk setingkat dengan anaknya, beliau perlu sentiasa melawat anaknya.
Di ending The Platform, barulah kita tahu anak Miharu duduk di tingkat paling bawah iaitu tingkat 333. Tapi walaupun duduk di tingkat 333, anak Miharu tetap nampak sihat walafiat.
Ini menunjukkan tujuan Miharu duduk di platform makanan adalah untuk memberi makanan kepada anaknya di tingkat 333. Walaupun sedar dengan risiko beliau akan diserang banduan lain, Miharu sanggup mempertaruhkan nyawa demi anaknya.
7. Imoguiri cakap tiada budak bawah 16 tahun dibenarkan masuk penjara. Tapi kenapa ada anak Miharu?
Anak Miharu yang jelas berumur bawah 16 tahun mungkin berada di penjara tersebut hasil hubungan Miharu dengan banduan lelaki yang sudah mungkin sudah mati. Miharu mungkin mengandung dan melahirkan anaknya di penjara tersebut. Jadi ada kemungkinan Miharu telah lama berada di penjara tersebut.
8. Di ending filem The Platform, kenapa anak Miharu dihantar ke atas?
Anak Miharu jelas merupakan satu-satunya banduan yang masih suci dan belum dicemari oleh kekotoran sistem dan sikap manusia di penjara. Jadi anak Miharu mewakili ‘harapan masa depan’.
Jika anak Miharu kekal suci daripada kekotoran sistem, maka cerahlah masa depan banduan untuk melihat sistem diubah. Jika anak Miharu terjebak dengan kekotoran sistem, maka masa depan banduan akan kekal sama.
Anak Miharu dihantar ke atas sebagai simbolik harapan kita untuk mengubah masa depan melalui generasi muda. Kita yang tua dah dicemari dengan kebobrokan sistem.
Sebab itulah Trimagasi berkata, “mesej ini tak perlukan penyampai”. Kerana penyampainya (Goreng) sudah dicemari dengan kebobrokan sistem (membunuh banduan lain).
9. Apa maksud ending The Platform? Kenapa ia macam tergantung?
Pemberian pana cotta yang dilindungi Goreng dan Baharat dari tingkat 6 kepada anak Miharu melambangkan kesanggupan manusia berkorban untuk memastikan anak-anak kita dapat benda yang kita tak dapat.
Apabila Goreng turun dari platform untuk mengikut Trimagasi (yang sudah mati), kami percaya ia satu metafora bahawa Goreng sebenarnya sudah mati. Kita sebenarnya melihat roh Goreng ikut roh Trimagasi ke alam barzakh.
Ending yang tak menunjukkan kesudahan anak Miharu di tingkat 0 bermaksud tiada siapa tahu apa yang akan berlaku pada masa depan. Kita semua boleh merancang, tapi hanya takdir Tuhan yang menentukan nasib kita.
10. Apa maksud babak ketua chef marah tukang masak kerana ada rambut dalam makanan?
Ada kemungkinan sebenarnya anak Miharu tidak wujud dan ianya hanya ilusi Goreng sahaja. Mungkin pana cotta itu sebenarnya berjaya naik ke tingkat 0.
Apabila naik ke tingkat 0, ketua chef ingat pana cotta itu tidak dimakan banduan kerana ada rambut. Bukannya kerana banduan ingin menghantar mesej.
Nota: Jawapan kepada soalan-soalan di atas adalah interpretasi peribadi penulis. Ia bukannya jawapan sebenar dari pengarah dan penulis The Platform.