Banyak bisnes mengalami kesukaran mendapatkan pinjaman kewangan dari insititusi kewangan berlesen ketika penularan wabak COVID-19 sekarang, hinggakan peminjam tak berlesen seperti ah long juga semakin bersikap memilih.

Ketua Jabatan Servis Awam & Aduan MCA, Datuk Seri Michael Chong memberitahu realiti tersebut selepas menerima banyak aduan dari pemilik bisnes, lapor The Star.

Menurutnya mereka sukar mendapatkan pinjaman kewangan berlesen ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sedang dikuatkuasa.

Chong khuatir jika keadaan tidak berubah, banyak bisnes akan gulung tikar sebelum PKP Fasa Kedua berakhir.

“Ah Long sendiri pun dah tak iklankan servis mereka sejak PKP dikuatkuasa kerana mereka tak pasti peminjam mampu membayar balik atau tidak.

“Ah Long sekarang lebih bersikap memilih. Mereka hanya meminjamkan duit kepada peminjam yang pernah meminjam daripada mereka sebelum ini.”

Chong juga memberitahu Ah Long juga terpaksa memilih peminjam kerana PKP membuatkan mereka sukar untuk keluar mengutip hutang.

“Tempoh PKP inilah tempoh yang paling selamat untuk penghutang Ah Long untuk duduk di rumah tanpa diganggu.”

Keengganan Ah Long memberi pinjaman menimbulkan masalah baru pula. Menurut Chong ketika ini, banyak penipu atas talian sedang mengambil peluang untuk menyamar sebagai Ah Long untuk menipu pemilik bisnes.

“Sekarang dah ada ramai penipu pula yang menyamar jadi Ah Long.

Chong menyeru bank dan institusi pinjaman wang berlesen supaya bersikap lebih terbuka dan memahami ketika meluluskan permohonan pinjaman, terutamanya dalam suasana ekonomi yang tak menentu akibat wabak COVID-19.

Beliau berkata, perusahaan kecil dan sederhana (PKS) berskala mikro dan kecil paling berisiko untuk ‘bungkus’ berbanding PKS sederhana dan syarikat besar lain ketika ini.

4 juta pekerja swasta berpotensi hilang kerja

Sebelum ini The Star melaporkan empat juta pekerja swasta dijangka akan hilang kerja disebabkan kekurangan sokongan kerajaan kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) daripada Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat yang diumumkan kerajaan.

Presiden Persatuan PKS Malaysia, Datuk Michael Kang berkata beliau menjangkakan sekurang-kurangnya 50% PKS akan ‘bungkus’ dan empat juta pekerja swasta akan hilang pekerjaan kerana Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat tidak memberi banyak faedah kepada PKS.

“Pakej rangsangan ini bagus untuk rakyat. Tapi tak bagus untuk perniagaan. Syarikat akan bungkus dan pekerja swasta akan kehilangan kerja kerana tak banyak faedah untuk PKS.

“Kenapa PKS kena buat pinjaman untuk bayar gaji dan sewa bila mereka tiada pendapatan untuk perniagaan mereka?

Dalam ucapannya semasa mengumumkan Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat semalam, Tan Sri Muhyiddin Yassin menjanjikan bantuan-bantuan berikut kepada PKS:

1. Subsidi gaji sebanyak RM600 selama tiga bulan untuk pekerja yang bergaji RM4,000 dan ke bawah. Layak untuk syarikat yang pendapatannya berkurangan lebih 50% sejak Januari 2020.

2. Diskaun berperingkat antara 15% hingga 50% mengikut penggunaan kadar elektrik dengan had maksimum 600 kilowatt sebulan ke atas bil elektrik sektor pelancongan .

3. Internet percuma kepada semua pelanggan dengan nilai RM600 juta bermula 1 April 2020 sehingga tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Keselamatan tamat.

4. Bersetuju untuk membayar gaji yang ditanggung oleh kontraktor perkhidmatan pembersihan dan bekalan makanan bermasak yang terlibat sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan walaupun pekerja tidak hadir bekerja.

5. Menambah dana dalam tabung Bantuan Kemudahan Khas atau Special Relief Facility untuk PKS sebanyak RM3 bilion, menjadikan jumlah keseluruhannya RM5 bilion. Selain itu, kadar faedah bagi keseluruhan dana ini akan dikurangkan daripada 3.75% kepada 3.5%.

6. Meningkatkan saiz dana sebanyak RM1 bilion kepada RM6.8 bilion di bawah Kemudahan Semua Sektor Ekonomi bagi meningkatkan lagi akses pembiayaan kepada PKS.

7. Menyediakan dana tambahan sebanyak RM500 juta di bawah Skim Kredit Mikro yang menjadikan jumlah keseluruhan RM700 juta bagi pembiayaan mudah. Skim ini akan dikendalikan oleh Bank Simpanan Nasional dengan menawarkan kadar faedah 2% sahaja tanpa cagaran.

8. PKS yang mempunyai rekod perniagaan kurang daripada 4 tahun juga boleh memanfaatkan skim BizMula-i dan BizWanita-i Syarikat Jaminan Kredit Malaysia Berhad (CGC) untuk pembiayaan sehingga RM300,000.

9. Syarikat Jaminan Pembiayaan Perniagaan (SJPP) akan menyediakan kemudahan jaminan bernilai RM5 bilion selain meningkatkan kadar jaminan daripada 70% kepada 80% bagi syarikat PKS yang menghadapi masalah mendapatkan pinjaman.

10. KWSP akan memperkenalkan program Khidmat Rundingan Majikan pada 15 April 2020. Perkhidmatan ini merangkumi pilihan penangguhan bayaran, penstrukturan dan penjadualan semula sumbangan majikan.

11. Mengecualikan pembayaran levi Tabung Pembangunan Sumber Manusia (HRDF) bagi semua sektor untuk tempoh enam bulan mulai bulan April 2020.

12. Kerajaan juga membenarkan penangguhan pembayaran ansuran cukai pendapatan kepada semua PKS untuk tempoh tiga bulan mulai 1 April 2020.

13. Moratorium bayaran pinjaman bank, TEKUN, MARA dan koperasi serta mana-mana agensi kerajaan yang memberi pinjaman selama enam bulan, penukaran baki kad kredit kepada pinjaman berjangka dan penstrukturan semula pinjaman korporat.

14. Pengenalan satu program kewangan sosial untuk usahawan mikro B40 dengan kerjasama antara institusi perbankan Islam, Majlis Agama Islam Negeri dan rakan-rakan pelaksana utama.